Kumpulan AirAsia catat faktor beban yang positif dalam suku pertama

Kumpulan AirAsia catat faktor beban yang positif dalam suku pertama

AIRASIA Group Bhd melaporkan faktor beban kumpulan yang positif sebanyak 80 peratus untuk suku pertama 2020 lebih baik daripada jangkaan 77 peratus sebelum ini walaupun permintaan perjalanan masih lemah berikutan sekatan pergerakan yang dikuatkuasakan selepas pandemik koronavirus (Covid-19).

“Kejayaan itu diraih melalui pengurusan keupayaan yang proaktif, terutamanya pada Februari dan Mac dengan pengurangan yang paling ketara dalam AirAsia Malaysia dan AirAsia Thailand,” katanya dalam satu kenyataan yang berhubung kait dengan statistik awal bagi suku pertama syarikat penerbangan itu.

Kapasiti penumpang kumpulan secara keseluruhan adalah lebih rendah sebanyak tujuh peratus dari tahun ke tahun pada 21 peratus bagi suku tersebut.

Syarikat-syarikat pengendalian penerbangan kumpulan yang disatukan (AOC) yang terdiri daripada operasi Malaysia, Indonesia dan Filipina merekodkan faktor beban yang mantap sebanyak 78 peratus tetapi bilangan penumpang yang dibawa menyusut ke bawah 21 peratus dari tahun ke tahun kepada 9.9 juta selepas kapasiti berkurangan sebanyak 11 peratus.

Di bawah suku yang dikaji itu, kapasiti AirAsia Malaysia telah melemah sebanyak 17 peratus dari tahun ke tahun selepas perniagaannya terganggu oleh peningkatan dalam kes Covid-19 termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan di Malaysia sejak 18 Mac lepas.

Penumpang pesawatnya berkurangan 27 peratus dari tahun ke tahun tetapi ia telah meraih faktor beban yang kukuh berjumlah 77 peratus.

AirAsia Indonesia pula, mencatatkan kenaikan kapasiti sebanyak 10 peratus dari tahun ke tahun untuk suku pertama 2020 walaupun tempat duduk tersedia bagi setiap kilometer (ASK) sedia ada naik empat peratus selepas syarikat mengatur lebihan kapasiti daripada sektor antarabangsa kepada domestik.

“Penumpang yang dibawa menurun sebanyak tujuh peratus berikutan kejatuhan permintaan perjalanan di rantau ini, manakala faktor beban adalah sederhana pada 74 peratus.

“Dalam suku ini juga, AirAsia Indonesia telah memulakan penerbangan Jakarta-Medan,” kata kumpulan itu.

Sementara itu, AirAsia Philippines telah menerbangkan 1.8 juta penumpang, susut sembilan peratus berbanding suku yang sama pada tahun lepas.

Kapasitinya pula jatuh sebanyak satu peratus dari tahun ke tahun disebabkan banyak laluan domestik dan antarabangsa mengalami sekatan mulai pertengahan Mac lepas, manakala faktor beban adalah kukuh pada 84 peratus.

Bagi AirAsia Thailand, penjajaran kapasiti dan usaha rasionalisasi yang telah dimulakan pada 2019 masih diteruskan sehingga suku tahun ini bagi diselaraskan dengan permintaan perjalanan yang rendah.

“Kapasiti merosot 17 peratus manakala permintaan menurun 30 peratus disebabkan rangkaian AirAsia Thailand telah disejajarkan melalui pengurangan kekerapan dan penggantungan penerbangan di laluan antarabangsa berikutan sekatan perjalanan termasuk penggunaan semula kapasiti berlebihan kepada sektor domestik,” kata kumpulan itu lagi.

AirAsia Thailand merekodkan faktor beban sejumlah 84 peratus kerana ia membawa 4.5 juta penumpang, 23 peratus lebih rendah daripada tahun sebelumnya.

Sementara itu, AirAsia India melaporkan pertumbuhan 30 peratus dalam penumpang kepada 2.5 juta dengan tambahan kapasiti 43 peratus yang disumbangkan oleh 10 pesawat baharunya dari tahun ke tahun.

Syarikat usaha sama yang dikuasai sebanyak 49 peratus itu mengakhiri suku berkenaan dengan 30 buah pesawat dan faktor beban kekal stabil pada 81 peratus walaupun menghadapi pelbagai cabaran perjalanan.

AirAsia Japan, syarikat penerbangan terkecil di bawah kumpulan telah mengembangkan kapasiti sebanyak 48 peratus manakala permintaan menokok 30 peratus dari tahun ke tahun dengan penambahan laluan terkini, Nagoya-Sendai, yang dilancarkan pada suku ketiga 2019.

Faktor beban adalah lemah pada 72 peratus bagi suku yang dikaji memandangkan jumlah penumpang yang dibawa bertambah pada kadar yang agak perlahan sebanyak 32 peratus dari tahun ke tahun.

Menurut Kumpulan AirAsia, ia mahu menamatkan 2020 dengan memiliki 244 pesawat, pengurangan bersih sebanyak satu pesawat daripada 245 pesawat pada akhir 2019. – Bernama



Sumber