Mulai 23 hingga 28 Oktober, ibu kota Kuala Lumpur akan menyaksikan sekatan lalu lintas menyeluruh khususnya di sekitar kawasan KLCC dan Putrajaya. Beberapa jalan utama seperti Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan P. Ramlee, Jalan Pinang, Jalan Binjai dan Persiaran KLCC akan ditutup sepenuhnya sepanjang tempoh tersebut. Begitu juga Jalan Tun Razak, Jalan Parlimen, Jalan Bukit Bintang, Jalan Imbi, Jalan Damansara, Jalan Istana, Jalan Kuching dan Jalan Perak turut berada dalam senarai laluan yang tidak dibenarkan melalui.
Persimpangan strategik antara Jalan Ampang dan Jalan P. Ramlee, antara Jalan Sultan Ismail dan Jalan P. Ramlee, serta antara Jalan Perak dan Jalan P. Ramlee termasuk Jalan Perak ke Jalan Pinang juga akan ditutup. Laluan lain seperti Jalan Stonor ke Jalan Kia Peng dan Jalan Stonor ke Persiaran KLCC turut disekat bagi memastikan kelancaran pergerakan para delegasi dan tahap keselamatan. Selain itu, beberapa lebuh raya utama seperti Maju Expressway (MEX), North-South Expressway (PLUS) dari Sungai Buloh ke Jalan Duta, Elite Expressway (KLIA–Putrajaya), New Klang Valley Expressway (NKVE) dari Subang ke Jalan Duta, Guthrie Corridor Expressway dan Rambungan KL–Seremban antara Sungai Besi dan pusat bandar turut akan mengalami penutupan sementara atau sekatan masa tertentu.
Di kawasan menuju KLIA, Putrajaya Ringroad dan laluan dari Subang ke Kuala Lumpur, penutupan sementara dijangka berlaku dari masa ke semasa bergantung keperluan kawalan keselamatan. Kementerian Perdagangan Luar mengesahkan bahawa seramai 20,000 anggota keselamatan dari seluruh negara akan ditempatkan di sekitar kawasan persidangan bagi mengurus aliran trafik dan menjaga keselamatan delegasi. Kehadiran kira-kira 12,000 delegasi dari negara ASEAN, Amerika Syarikat, China, Afrika Selatan, Finland dan negara rakan dialog lain menjadikan acara ini sangat besar dan kompleks.

Bagi kakitangan awam yang tinggal dalam radius 25 kilometer dari kawasan terjejas, urusan kerja dari rumah (work from home) dibenarkan atas permohonan, sementara mereka yang tiada keperluan rasmi dinasihatkan agar mengelak daripada memasuki kawasan terjejas sepanjang tempoh itu. Pelan pergerakan alternatif perlu disusun lebih awal termasuk mempertimbangkan penggunaan pengangkutan awam, laluan pinggir bandar atau menyesuaikan jadual keluar masuk bandar agar tidak terperangkap dalam kesesakan luar biasa.
Keselamatan dan kelancaran acara antarabangsa ini adalah keutamaan. Berdasarkan maklumat semasa, orang ramai diseru agar mematuhi garis panduan pihak berkuasa serta memeriksa peta laluan terkini sebelum bergerak untuk mengelak kesulitan sepanjang lima hari peralihan ini.