KSSB kukuh hubungan antara rakan niaga

KSSB kukuh hubungan antara rakan niaga

BAGI memastikan segala informasi dapat disampaikan secara terus dan berkesan, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) menganjurkan Townhall Rakan Niaga KSSB bersama Jabatan Teknikal di sini baru-baru ini.

Program itu disertai sebanyak 67 syarikat yang menjalankan kerja cari gali di sungai dan pasir di beberapa kawasan di negeri ini.

Ketua Jabatan Kontrak dan Pemerolehan KSSB, Mohd Hisham Mohd Ghaus berkata, program itu diadakan untuk menyalurkan informasi terkini mengenai syarat dan peraturan yang perlu dipatuhi rakan-rakan niaga KSSB.

“Ini merupakan townhall keempat diadakan. Menerusi program sebegini, kita dapat menguatkan hubungan dengan rakan niaga KSSB.

“Matlamat yang paling utama adalah mendapatkan hasil yang terbaik kepada negeri Selangor secara amnya,” katanya selepas Townhall Rakan Niaga KSSB bersama Jabatan Teknikal di Dewan Orkid, Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di sini pada 3 Mac lalu.

Penting bagi syarikat untuk memastikan kerja-kerja yang dilaksanakan di tapak terlibat selari dengan kehendak dan syarat Jabatan Teknikal.

Mohd Hisham

Mohd Hisham

Ketua Bahagian Operasi KSSB, Jafrikhairi Mhd Idris berkata, penerangan secara terperinci diberikan kepada syarikat terlibat mengenai kepentingan mematuhi syarat yang ditetapkan semasa kerja dijalankan.

“Kita memberikan penerangan mengenai aspek yang perlu dipatuhi sebagaimana ditetapkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

“Misalnya, dalam soal perlombongan, selalunya perlombongan sering dikaitkan dengan kesan yang besar kepada alam sekitar, namun kita berikan penerangan bagi memastikan proses perlombongan ini memberikan kesan minimum,” katanya.

Syarikat perlu mematuhi permit yang dikeluarkan terutamanya dalam soal mengawal kelestarian sungai bagi mengelakkan sungai rosak.

Ketua Bahagian Kualiti Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran KSSB, Mohamad Fadzil Yahya berkata, penerangan terhadap aspek penjagaan sungai turut diberikan kepada syarikat-syarikat terlibat.

“Kepentingan pematuhan permit diberikan perhatian dalam memastikan sungai terutamanya, sentiasa dalam keadaan baik di samping penjagaan kualiti airnya.

“KSSB juga sentiasa bekerjasama dengan syarikat terlibat, misalnya ketika penggalian dijalankan dengan lancar bagi memastikan sumber air tidak tercemar,” katanya.

Townhall Rakan Niaga KSSB bersama Jabatan Teknikal berlangsung di Dewan Orkid, Wisma PKPS, Shah Alam.

Townhall Rakan Niaga KSSB bersama Jabatan Teknikal berlangsung di Dewan Orkid, Wisma PKPS, Shah Alam.

KSSB ditubuhkan pada tahun 2008 oleh kerajaan Selangor yang berperanan untuk mengurus serta memantau pengeksplorasian, pengekstrakan, pengeluaran dan penjualan pasir secara profesional di negeri ini.

Sejak penubuhannya, KSSB memainkan peranan yang baik untuk menjadi sebagai pusat sehenti kepada pengusaha pengurusan pasir di negeri ini bagi membantu mereka dalam kelulusan permit dan urusan melibatkan Jabatan Teknikal.

Dalam memastikan KSSB menjadi peneraju utama perlombongan dan pembangunan sumber bahan batuan dan mineral, pelbagai perancangan dan penambahbaikan diatur oleh pihak pengurusan untuk memastikan setiap kakitangan kekal proaktif bagi membawa misi serta visi syarikat.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *