Koop Sahabat meterai MoU bangun hartanah, pusat penjagaan kesihatan

Koop Sahabat meterai MoU bangun hartanah, pusat penjagaan kesihatan

KOPERASI Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (Koop Sahabat) Berhad menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Marriott International dan Hospital Islam Az Zahrah bagi projek pembangunan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM250 juta di sini pada Sabtu.

Majlis menandatangani MoU itu telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Koop Sahabat, Mohd Najib Mohd Noor bersama Pengarah Kanan Pembangunan Hotel Asia Pasifik, Marriott International, Andree Susilo, dan Pengurus Besar Hospital Islam Az Zahrah, Ali Karimi Abd Rahman dan disaksikan oleh Naib Pengerusi Eksekutif (Operasi dan Kawal Selia) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Siti Azlin Ahmad Dauta.

Mohd Najib (kanan), Andree Susilo (kiri) dan Ali Karimi (tiga dari kiri) selepas majlis menandatangani MoU dengan Marriott International dan Hospital Islam Az Zahrah di Shah Alam, Selangor pada Sabtu.

Mohd Najib (kanan), Andree Susilo (kiri) dan Ali Karimi (tiga dari kiri) selepas majlis menandatangani MoU dengan Marriott International dan Hospital Islam Az Zahrah di Shah Alam, Selangor pada Sabtu.

Menerusi perjanjian tersebut, Koop Sahabat melantik Marriott International sebagai operator pengendali hotel dengan kapasiti bilik sebanyak 300 unit di atas tanah milik kumpulan Koop Sahabat di Pantai Chenang, Langkawi dengan menggunakan jenama Fairfield By Marriott.

Manakala Pusat Penjagaan Kesihatan Ambulatory Care Centre di Kuantan, Pahang akan dikendalikan oleh Hospital Islam Az Zahrah, bakal menyediakan perkhidmatan perundingan, rawatan dan intervensi penjagaan kesihatan menggunakan teknologi terkini perubatan.

Pusat perubatan ini juga akan dilengkapi dengan fasiliti rehabilitasi perubatan dan vokasional, oncology suites, assisted living, hemodialisis, pengimejan diagnostik, ‘confinement suites’, ‘wellness spa’ dan beberapa lagi fasiliti sokongan perubatan.

Pengerusi Lembaga Koop Sahabat, Mohd Najib Mohd Noor berkata, kedua-dua projek dengan nilai pembangunan kasar keseluruhan sebanyak RM250 juta itu dijangka beroperasi pada tahun 2024 dan 2026.

“Projek ini mampu merancakkan aktiviti pembangunan hartanah dan pembinaan selaras dengan perancangan strategik yang telah dirangka pihak koperasi.

Mohd Najib (dua dari kanan) mewakili Koop Sahabat menerima anugerah koperasi ketujuh terbaik peringkat kebangsaan dalam profil 100 koperasi terbaik Malaysia pada tahun 2022 oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Mohd Najib (dua dari kanan) mewakili Koop Sahabat menerima anugerah koperasi ketujuh terbaik peringkat kebangsaan dalam profil 100 koperasi terbaik Malaysia pada tahun 2022 oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

“Koop Sahabat juga yakin dengan pembangunan hartanah yang tidak hanya tertumpu kepada pembangunan perumahan sahaja, sebaliknya penumpuan harus diberikan kepada pembangunan secara ‘Built To Suit’ yang mampu membantu kerajaan menyediakan kemudahan asas seperti hospital dan pusat pendidikan.

“Koop Sahabat juga merupakan kontraktor yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), akan cuba memainkan peranan dalam membantu kerajaan membina infrastruktur asas di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Bersempena program Real Estate Invest Day dan Majlis Apresiasi Koperasi terbaik Tahun 2022 Wilayah Persekutuan itu, Koop Sahabat telah dinobatkan sebagai koperasi ketujuh terbaik peringkat kebangsaan dalam profil 100 koperasi terbaik Malaysia pada tahun 2022 oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Koop Sahabat adalah sebuah koperasi perkhidmatan yang ditubuhkan pada 30 Ogos 2012 di bawah Akta Koperasi 1993 dengan keanggotaan kini melebihi 400,000 anggota di seluruh Malaysia, terdiri daripada usahawan wanita B40.

Perniagaan Koop Sahabat kini meliputi perniagaan dalam perkhidmatan kewangan seperti Ar Rahnu, pembangunan hartanah, pelaburan korporat, pelaburan strategik serta pelaburan di dalam ekuiti awam.

Sumber