Kongsi perihal rumah tangga di media sosial

Kongsi perihal rumah tangga di media sosial

MENJADI kelaziman kebanyakan orang untuk berkongsi kisah peribadi di media sosial masing-masing.

Malah, segelintir orang tidak kisah untuk mencoretkan apa sahaja yang dilaluinya sama ada pengalaman indah, buruk atau menyedihkan menerusi platform berkenaan.

Ia termasuklah kisah rumah tangga yang kurang enak didengar.

Kadangkala niat perkongsian berkenaan sekadar untuk mendapatkan pandangan orang ramai tentang masalah rumah tangga atau keluarga yang dihadapi.

Bolehkah kita berbuat demikian? Apakah pandangan Islam tentang perkara itu?

Menjawab persoalan tersebut, keaiban adalah rahsia bersama antara suami dan isteri yang wajib dijaga.

Ia bersesuaian dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang melarang seorang lelaki yang bersama isteri, kemudian menyebarkan aib pada keesokan harinya.

Hadis itu dipakai secara umum sama ada untuk suami atau isteri yang mana kedua-duanya dilarang menyebarkan aib masing-masing.

Media sosial bukanlah tempat untuk mengadu atau berbincang tentang hubungan suami isteri.

Bahkan, Islam menyekat lebih awal lagi agar aib pasangan tidak dibincangkan bersama kawan-kawan atau teman-teman rapat.

Jika wujud persengketaan, maka haram didedahkan atau berbincang melalui media sosial seperti Facebook, Telegram atau WhatsApp kerana sedikit demi sedikit, ia akan membuka aib pasangan.

Sebaiknya, selesaikanlah masalah rumah tangga berkenaan melalui peruntukan undang-undang keluarga Islam melalui mahkamah di samping mengutus wakil atau hakam daripada pihak suami dan isteri.

Sewajarnya apa yang berlaku dalam rumah tangga diselesaikan dengan cara yang dibenarkan Islam, bukan dengan berdiskusi di Facebook, Telegram dan lain-lain.

***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah dan penulis.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *