Kolaborasi MengQurankan Bangsa, MengIkhlaskan Ummah – Hussamuddin Yaacub

Kolaborasi MengQurankan Bangsa, MengIkhlaskan Ummah – Hussamuddin Yaacub

KUALA LUMPUR – Masjid Putra, Putrajaya pada tarikh 30 Ogos ini bakal bergema dengan alunan Surah al-Kahfi dan Pesan Kemerdekaan dari Surah A-Kahfi bersempena Malaysia QuranHour kali ke-5 dan sambutan Hari Kebangsaan ke-62.

Surah tersebut dipilih kerana ianya sarat dengan panduan dan solusi menghadapi zaman penuh cabaran sebagai cara melakukan perubahan ke arah “MengQurankan Bangsa dan MengIkhlaskan Ummah”.

“Quran Hour adalah sebuah ajakan untuk kita berkolaborasi bagi menyelamatkan keluarga, organisasi dan negara dengan nilai dari Al-Quran dan As Sunnah. Ia adalah perancangan sehingga tahun 1500H bagi menukar ekosistem agar kita kembali kepada nilai dan panduan dari al Quran. ” kata Datuk Hussamuddin.

Gerakan berinteraksi dengan al- Quran; Baca, Faham dan Amal melalui kempen tahunan berskala besar, World Quran Hour (WQH) dan Malaysia #QuranHour, yang diaspirasi dan diasaskan Datuk Dr Hussamuddin Yaacub ini telah mendapat 1.46 bilion capaian di media sosial pada tahun ini berbanding 646 juta capaian pada tahun 2018. World #QuranHour juga telah diadakan di 300 lokasi di 70 buah negara membawa gelombang perubahan dengan al-Quran dari Malaysia ke seluruh dunia.

Merujuk kepada misi Surah Al-Kahfi pada tahun ini, Dr. Hussamuddin mengatakan bahawa empat kisah yang ada di dalam surah tersebut sangat relevan dengan suasana yang sedang dihadapi oleh kita pada hari ini.

“Kisah pemilik dua kebun yang dilanda badai di dalam Surah al-Kahf pada saya, seolah-olah badai digital yang sedang meranapkan banyak syarikat media, perbankan dan lain-lain lagi sekarang ini. Ramai yang sombong ketika kita kaya, banyak harta dan ada ramai pengikut. Perkara ini perlu dipimpin dengan nilai dari al-Quran” ulas Datuk Hussamuddin kepada AlHijrah Online

Kisah Zulkarnain berkolaborasi membina benteng bersama-sama rakyatnya di dalam Surah Al-Kahfi pula menurut Datuk Hussamuddin memberi beliau panduan tentang formula kejayaan dalam berkolaborasi.

“Kita perlu membina dinding di dalam hati ummah agar hati kita dilindungi dari anasir perosak. Dengan meningkatkan iman dan kembali kepada al-Quran, Insya-Allah kita akan mampu menguruskan harta, ilmu dan kuasa dengan lebih baik” kongsi Hussamuddin.

Keinginan untuk melihat perpaduan yang jitu dan kehidupan harmoni dalam masyarakat juga menyebabkan beliau sering mencetuskan idea yang banyak menyumbang kepada kecintaan kepada ilmu dan nilai murni sejagat, tanpa mengira perbezaan agama dan bangsa.

Sebagaimana tabloid Sinar Harian yang neutral dalam pelaporannya, beliau juga sentiasa berusaha menterjemahkan nilai-nilai murni dalam peribadinya di rumah, tempat kerja dan masyarakat. Impian untuk “Masuk Syurga Sekeluarga” menjadi dorongan kuat bagi beliau menyumbang kepada ummah melalui pelbagai kebolehan dalam variasi bidang.

Di dalam mengharungi cabaran dunia perniagaan, beliau percaya tiada panduan yang lebih baik selain merujuk kepada panduan dari al Quran dan sebagaimana yang telah dicontohkan oleh Rasulullah saw.

Terapi dari al-Quran menumbuhkan kekuatan dalam diri beliau. Contohnya beliau mengambil inspirasi dari surah An-Nur yang ada menyebut tentang sifat pohon zaitun yang teguh di pergunungan.

Seseorang yang ingin berjaya akan tetap teguh melawan angin dan badai, kerana semakin tinggi keberadaan seseorang itu, semakin kuat ujian melanda.

Sifat-sifat dan pedoman sebeginilah yang cuba diterap dalam gerakan berinteraksi dengan al Quran (Baca, Faham, Amal) untuk dihayati oleh masyarakat bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang berbudi dan penyayang, ‘A Nation of Compassion’.

Walaupun sibuk dengan pelbagai tanggungjawab antaranya tugas hakiki sebagai Pengerusi, Pengarah Urusan Kumpulan dan Penerbit di Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd, Pengerusi TV AlHijrah, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan terbaharu Pengerusi Raudhah City, sebuah syarikat pemaju perumahan, beliau tetap istiqamah dalam melestarikan gerakan al-Quran di Malaysia dan ke seluruh dunia.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *