KK Super Mart rancang buka lebih banyak cawangan di India

KK Super Mart rancang buka lebih banyak cawangan di India

KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) merancang untuk membuka lebih banyak cawangannya di India dalam suasana kebiasaan baharu susulan penularan koronavirus (Covid-19), sekali gus mengembangkan platform e-dagang untuk memudahkan pengguna membeli produk secara dalam talian.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Dr. KK Chai berkata, buat masa ini rangkaian kedai 24 jam itu mempunyai tiga cawangan sahaja di bandar Kolkata, ibu kota Bengal Barat.

“Kami merancang untuk membuka lebih banyak cawangan di India dan berhasrat memberi lebih banyak pilihan dan kemudahan kepada pelanggan.

“Kami akan mengekalkan daya saing melalui nilai untuk wang dan mempelbagaikan produk,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Mengulas mengenai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat di India, Chai berkata, syarikat itu telah mengedarkan barang keperluan penting dan memberi makan kepada rakyat yang kehilangan tempat tinggal akibat Covid-19 di Kolkata.

“Walaupun cawangan di India tidak dapat beroperasi seperti biasa kerana sekatan pergerakan, syarikat tetap menyediakan makanan kepada mereka yang memerlukan.

“Kira-kira 2,000 orang telah mendapat manfaat daripada bantuan yang diberikan pada setiap hari itu,” katanya.



Sumber