‘Kita semua perlu bersyukur’

‘Kita semua perlu bersyukur’

SHAH ALAM – Konsep bersyukur penting dan perlu ada dalam diri manusia untuk kita lebih menghargai apa yang akan diperoleh atau sudah memilikinya.

Penganalisis Ekonomi, Datuk Dr Madeline Berma berkata, kalau kita tidak melihat roda kehidupan kita, apabila kita berada di bawah, sekali-sekala lihatlah ke atas supaya melihat bagaimana kejayaan orang lain.

“Jika kita berada di atas, kita tengok ke bawah ada orang berjalan dengan anaknya yang mungkin tidak cukup makan. Dari situ kita akan sedar kita memiliki kehidupan yang baik dan masih mempunyai tempat tinggal.

“Kita mesti bersyukur dan pada masa yang sama perlu berusaha bagi memastikan kehidupan kita, keluarga, masyarakat dan negara terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Al-Quran Siri 16 bertajuk Sinergi Ekonomi Rakyat yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian semalam.

Wacana itu turut menampilkan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Dr Mohd Daud Bakar, manakala Ketua Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail bertindak sebagai moderator serta qari, Ahmad Tarmizi Abdul Rahman yang mengalunkan bacaan Surah Al- Zukhruf.

Madeline menegaskan Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini hanya menyasarkan untuk meningkatkan pendapatan isi rumah dan sampai bila-bila akan ada yang tidak berpuas hati.

“Golongan B40 bersyukur tetapi jumlah tidak ditambah lagi. M40 menyatakan belanjawan terlalu memberikan penekanan kepada B40 sedangkan mereka yang menyumbang kepada ekonomi, manakala T20 pula menyatakan tidak ada yang memandang mereka dalam keadaan begini,” katanya.

Bagaimanapun, Madeline berkata, belanjawan berkenaan mempunyai lapan strategi khusus dan dua daripadanya ialah kebajikan dan kesejahteraan.

“Selesaikan dahulu kebajikan dan kita tengok teras bajet berkenaan. Jika bajet kita berbentuk piramid yang mana terasnya berada di bawah ialah kebajikan dan merupakan golongan B40.

“Yang kedua ialah kesejahteraan iaitu tempat tinggal mereka dan pastikan tidak perlu memanjat pokok untuk buka internet. Kita pergi kedudukan yang seterusnya iaitu perniagaan, memang betul kita perlu mengutamakan orang yang berniaga tetapi yang penting ialah asasnya,” katanya.

Beliau berkata, kalau asasnya sudah diselesaikan, rakyat mempunyai kesinambungan kehidupannya.

Mengulas lanjut, Madeline berkata, ada beberapa faktor dalam memajukan ekonomi antaranya ialah kewangan, fizikal, ‘human capital’, politik dan modal sosial.

“Dalam ekonomi, apabila kita melabur, waktu, masa dan segala-galanya dianggap sebagai modal. Contoh modal sosial, dalam ekonomi ada dua iaitu ‘bridging’ dan ‘bonding’.

“Setiap orang perlu membantu di antara satu sama lain,” katanya.

Katanya, dalam keadaan ekonomi sekarang, penggunaan data sangat penting kerana ia efisien, efektif dan mengurangkan fitnah.

“Masalahnya sekarang, negara kita mengalami defisit dari segi kepercayaan, tidak kisah siapa yang bercakap, jika menyokong kerajaan, kerajaan betul dan jika menyokong parti pembangkang, apa yang dikatakan oleh pembangkang itu betul.

“Kalau siapa yang mempersoalkan perkara itu, disangka tidak mengikut. Dengan adanya data, ia boleh meminimumkan mereka yang berpolitik. Kita telah menghala ke abad 21, orang lain sudah menggunakan data dan sebagainya,” katanya.



Sumber