Kisah inspirasi dua wanita muda

Kisah inspirasi dua wanita muda

SHAH ALAM – Menyaksikan bapanya melakukan hubungan terlarang bersama perempuan yang lain setiap hari sejak dia berusia lima tahun dan mengambil dadah untuk membina keupayaan diri supaya mampu bekerja selama empat hari tanpa tidur bagi menyara keluarga.

Dua situasi tersebut merupakan antara kisah di sebalik kes juvana yang dikongsi Nur Afiqah Marzuki, 27, selaku sukarelawan yang menjadi penggerak bagi mendekati golongan remaja bermasalah.

Ternyata, usia muda tidak menjadi penghalang buat Nur Afiqah untuk melakukan khidmat sosial demi mengubah persepsi negatif terhadap remaja juvana yang memerlukan perhatian masyarakat.

Nur Afiqah berkata, kisah tersebut dikongsikan sendiri oleh remaja terbabit dalam program bicara anjurannya bertajuk ‘Remaja Juvana: Siapa, Kenapa dan Bagaimana?’ yang menjadi antara usaha boleh dibanggakannya sejak mendekati golongan itu dua tahun lalu.

“Pada tahun 2018, buat pertama kalinya saya memberanikan diri untuk menjejakkan kaki ke sekolah juvana. Pada awalnya saya agak gementar memikirkan tingkah laku mereka yang negatif. Tapi sebenarnya mereka juga seperti kita.

“Jadi saya mahu persepsi negatif masyarakat terhadap mereka ini juga berubah. Golongan ini bermasalah kerana ada yang menjadi mangsa keadaan. Jadi kita mahu masyarakat memahami dan menerima mereka supaya mereka tidak kembali melakukan kesalahan,” katanya kepada Sinar Harian.

Antara khidmat sosial yang dilakukan beliau adalah memberi kelas tambahan bagi subjek Sejarah dan Bahasa Melayu untuk pelajar juvana yang bakal mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Nur Afiqah bersama pasukan sukarelawan membantu menyediakan khidmat kelas tambahan bagi pelajar-pelajar juvana yang menghadapi Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM)

Nur Afiqah bersama pasukan sukarelawan membantu menyediakan khidmat kelas tambahan bagi pelajar-pelajar juvana yang menghadapi Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM)

Nur Afiqah juga telah berjaya membawa lebih 50 sukarelawan lain mendekati pelajar juvana dalam usaha membina masa depan golongan itu.

Bercerita lanjut, Nur Afiqah berkata, beliau merancang membuka perniagaan barangan terpakai yang didermakan orang ramai dan menggunakan semua keuntungan yang diperoleh untuk membantu sekolah khas bagi pelajar juvana.

“Sekiranya perniagaan berkembang maju, saya mahu mengambil remaja-remaja ini untuk bekerja apabila mereka keluar nanti kerana kita tahu mereka amat memerlukannya,” katanya.

Suaminya menjadi semangat dan motivasi buat Nur Afiqah meneruskan usaha-usaha sukarelawan dan menjadi wanita yang berani

Suaminya menjadi semangat dan motivasi buat Nur Afiqah meneruskan usaha-usaha sukarelawan dan menjadi wanita yang berani

Perkongsian kisah inspirasi daripada seorang lagi wanita muda, Nur Hidayah Jeffri, 24, tidak kurang tabahnya.

Beliau berdepan cabaran apabila pendapatan sampingan jualan di kantin sekolah terjejas sejak pandemik koronavirus (Covid-19) melanda negara.

Selaku anak sulung, graduan bidang kulinari itu tidak berputus asa menjana pendapatan untuk membantu keluarganya.

“Saya menggunakan pendekatan lain termasuk mengiklankan di Facebook, Instagram serta Group Chat WhatsApp kawasan perumahan dan jualan tauhu bergedil saya juga dikenali menerusi hebahan mulut ke mulut.

“Pada awalnya saya tidak yakin kerana saya seorang yang sangat pemalu. Saya juga memikirkan adakah jualan saya mampu menanggung pendapatan saya yang pernah makan gaji sebelum ini. Ia menjadi cabaran untuk saya memulakan perniagaan,” katanya.

Nur Hidayah berkata, memikirkan kini perniagaan secara sepenuh masa ini menjadi pendapatan tunggal keluarga, beliau bertekad untuk keluar keluar dari zon selesa dengan mempelbagaikan platform demi memajukan perniagaannya.

Keadaan bapanya yang tidak sihat, ibunya pula perlu menjaga nenek yang uzur, membuatkan Nur Hidayah tidak mahu toleh ke belakang lagi.

“Ibu saya menjadi tulang belakang untuk saya lebih bersemangat meneruskan usaha sekarang. Kini saya juga telah memiliki saluran YouTube sendiri.

“Dengan menyertai program ini saya dapat menambah pengetahuan dan keyakinan diri yang dapat bantu saya mengambil langkah pertama mengembangkan perniagaan saya. Saya mempunyai impian untuk perniagaan saya dapat beroperasi di premis sendiri satu hari nanti,” katanya.

Nur Hidayah kini menjalankan perniagaan sepenuh masa dari rumah dan berhasrat mengembangkan perniagaan di lokasi lebih selesa

Nur Hidayah kini menjalankan perniagaan sepenuh masa dari rumah dan berhasrat mengembangkan perniagaan di lokasi lebih selesa

Nur Afiqah dan Nur Hidayah merupakan antara 905 peserta wanita dari seluruh negara yang menyertai Bengkel Online Wanita Cukup Berani MAGGI pada September dan Oktober yang lalu.

Bengkel Online Wanita Cukup Berani MAGGI dianjurkan bagi membantu wanita meningkatkan keyakinan diri, membina kemahiran teknologi atau keusahawanan serta cara pemasakkan.

Bengkel tersebut merupakan salah satu komponen dalam Program Mentor Wanita Cukup Berani MAGGI, sebuah program nasional yang dianjurkan hasil kolaborasi bersama Women Will oleh Google Malaysia.

Niatnya adalah untuk memberi inspirasi kepada wanita untuk meningkatkan keyakinan diri dan mengambil langkah pertama untuk mencuba sesuatu yang baru dalam apa jua bidang mahupun keusahawanan atau pemasakkan.

Komponen seterusnya, peserta-peserta bengkel terpilih akan menjalani beberapa siri temu bual dan penilaian dan seterusnya menjadi salah seorang daripada tiga mentee terpilih.

Mereka akan menerima bimbingan secara peribadi oleh usahawan dan personaliti yang berjaya iaitu duta jenama bagi MAGGI CukupRasa Datin Paduka Eina Azman; Pengarah, Penerbit, Aktres dan Pemilik The Dim Sum Place Sheila Rusly dan Ikon Usahawan Muda Tahun 2019 dan Pemilik My Mum’s Bakery Anne Idris.



Sumber