Ketahui pengertian sahabat Nabi Muhammad SAW

Ketahui pengertian sahabat Nabi Muhammad SAW

ISTILAH sahabat selalu digunakan untuk kita merujuk kepada teman-teman kita atau pengikut bagi sesebuah organisasi.

Namun, apabila kita sebut tentang sahabat Nabi Muhammad SAW, konsepnya berbeza.

Sahabat Nabi Muhammad SAW bermaksud orang yang berjumpa dengan baginda dalam keadaan Muslim dan meninggal dunia dalam keadaan Islam.

Apa yang dimaksudkan berjumpa di situ adalah dalam pengertian yang lebih luas iaitu daripada duduk di hadapan, berjalan bersama dan terjadi pertemuan walaupun tanpa bicara.

Selain itu, termasuk dalam pengertian itu adalah apabila salah seorang daripada mereka, sama ada Nabi Muhammad SAW atau orang tersebut pernah melihat yang lainnya, sama ada secara langsung atau tidak.

Disebabkan itu, Abdullah bin Ummi Maktum RA yang buta matanya tetap dianggap sebagai sahabat.

Siapakah sahabat Nabi Muhammad SAW yang merupakan generasi paling terbaik?

Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik manusia ialah pada zamanku, kemudian, zaman berikutnya dan kemudian, zaman berikutnya.” (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Dalam hal itu, Imam Ibnu Kathir ada menjelaskan tentang keutamaan sahabat Nabi: “Menurut keyakinan Ahli Sunnah Wal Jamaah, seluruh para sahabat itu orang yang adil kerana ALLAH SWT telah memuji mereka dalam al-Quran dan juga banyaknya pujian yang diucapkan dalam hadis-hadis nabi terhadap seluruh akhlak dan amal perbuatan mereka.

“Di samping kerana apa yang telah mereka korbankan, baik berupa harta mahupun nyawa untuk membela Rasulullah SAW.”

Menurut Dr Soleh al-Fauzan dalam Ta’liq ‘Aqidah Tahawiyah, para sahabat itu memiliki keutamaan yang bertingkat-tingkat iaitu:

1. Paling utama di antara mereka adalah Khulafa al-Rasyidin yang empat (Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali RA).

2. 10 orang yang dijanjikan syurga selain Khulafa al-Rasyidin yang empat. Mereka adalah Abu ‘Ubaidah ‘Amir bin al-Jarrah, Sa’ad bin Abi Waqqas, Sa’id bin Zaid, Zubair bin al-Awwam, Talhah bin Ubaidillah dan Abdul Rahman bin ‘Auf RA.

3. Ahli Perang Badar.

4. Ahli Bai’ah Ridhwan.

5. Kemudian, para sahabat yang beriman dan turut berjihad sebelum terjadinya al-Fath (pembukaan semula kota Makkah). Mereka itu lebih utama daripada sahabat yang beriman dan turut berjihad setelah al-Fath.

6. Kaum Muhajirin secara umum.

7. Kemudian kaum Ansar.

(Sumber: Mustafar Mohd Suki)



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *