Kesan buruk rokok terhadap manusia

SHAH ALAM – Sejak kerajaan menguatkuasakan larangan merokok di tempat awam, banyak reaksi diterima tidak kiralah bersetuju mahupun membantah keputusan tersebut.

Pengerusi Pertubuhan Multaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman turut berkongsikan hukum menghisap rokok termasuk rokok moden dalam Facebook beliau baru-baru ini.

Menurutnya, terdapat ulama mengharamkan rokok apatah lagi selepas terdapat maklumat menyebut terdapat unsur arak dan racun di dalam rokok.

“Maka ia adalah seperti darah dan bangkai yang diharamkan kerana unsur kotor dan racun (seperti nikotin, tar, alcohol methnol, karbon monoksida, ammonia dan lain-lain) yang terkandung di dalamnya,” tulis beliau.

Tambah Zaharuddin, beberapa kajian daripada Britain dan Amerika juga pernah menerbitkan kajian menyebut merokok memudaratkan kesihatan dan ia juga adalah penyebab kepada pelbagai penyakit membunuh.

“Maka dengan kenyataan-kenyataan ini Allah SWT menyuruh kita agar merujuk kepada ahli dalam sesuatu ilmu sebagaimana erti firman Allah, ertinya: Maka hendaklah kamu bertanya kepada yang berpengalaman (Al-Furqaan : 59).

“Justeru, pandangan pakar perubatan dalam hal ini tidak boleh diketepikan oleh para ulama dalam membuat sebarang fatwa,” ujarnya.

Tambahnya lagi, rokok bukan saja mendatangkan keburukan dari sudut kesihatan malah ia juga boleh memudaratkan hubungan kemasyarakatan disebabkan baunya yang kuat dan busuk.

“Hal ini tidak dibenarkan oleh Islam berdasarkan sabda Nabi Muhammad ertinya : Tiada boleh memberi mudarat dan membalas mudarat.

“Hadis lain pula menyebut : Sesiapa yang memakan dari pokok ini, berkata bawang merah, bawang putih maka janganlah mendekati masjid-masjid kami, sesungguhnya (bau yang busuk) itu menyakiti Malaikat sebagaimana ia menyakiti manusia (Riwayat Al-Bukhari),” katanya.

Dalam pada itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad melalui Qalam Mufti menegaskan pihaknya bersetuju dengan keputusan kerajaan.

Berikut adalah penjelasan beliau mengenai perkara tersebut:

Menurut anggaran, 3,500 dari setiap 10,000 kematian setiap tahun di Malaysia adalah berkaitan dengan merokok. Ini menunjukkan 35 peratus kematian adalah berpunca daripada merokok.

Rokok boleh mengakibatkan gangguan pada tahap kesuburan lelaki, risiko strok (angin ahmar), serangan sakit jantung dan boleh mengakibatkan kanser paru-paru. Asap rokok mengeluarkan hampir 4,000 bahan kimia beracun dan 53 dari bahan kimia ini boleh mengakibatkan kanser.

Pada hakikatnya, 60 hingga 75 peratus asap rokok akan disedut oleh orang yang tidak merokok. Berbanding dengan asap yang dihisap oleh perokok, asap yang disedut oleh perokok pasif mengandungi dua kali ganda nikotin, tiga kali ganda tar, lima kali ganda karbon monoksida dan 50 kali ganda bahan kimia merbahaya.

Tabiat seperti membuang habuk dan puntung rokok di merata-rata tempat seperti pinggan makan, lantai dan tangga laluan awam menjadikan kawasan awam kotor dan menyakitkan mata pengunjung lain. Begitu juga puntung rokok yang dibuang ke dalam lubang tandas.

Perokok juga dianggap sebagai orang kaya yang memiskinkan diri sendiri. Dilaporkan, rakyat Malaysia membelanjakan RM1.5 bilion setiap tahun untuk membeli rokok.

Rokok mengandungi nikotin yang menyebabkan ketagihan seperti juga heroin dan kokain. Menghisap rokok berulang kali boleh menyebabkan ketagihan.

Dicatatkan, lebih kurang 50 peratus lelaki Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas adalah perokok manakala 20 peratus remaja adalah perokok. Rekod menunjukkan 85 peratus remaja akhirnya menjadi ketagih kepada rokok.

Tembakau yang terdapat di dalam rokok mempunyai hubungkait yang rapat sebagai penyebab penyakit seperti barah dan penyakit jantung dan boleh terjebak dalam penyalahgunaan dadah.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *