Kes denggi: 13 maut dalam tiga minggu pertama

DALAM tempoh tiga minggu pertama tahun ini, seramai 13 orang telah meninggal dunia akibat kes demam denggi.

Lebih menakutkan, empat daripada 13 kematian itu berlaku dalam tempoh seminggu iaitu pada minggu ketiga tahun 2020, antara 12 hingga 18 Januari lalu.

Selangor mencatatkan kematian dan kes tertinggi dengan lima kematian dan 5,734 kes sejak 29 Disember tahun lalu sehingga 18 Januari.

Negeri-negeri lain, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Melaka masing-masing dua kematian manakala Pulau Pinang, Perak, Johor dan Sabah mencatatkan satu kematian.

Walaupun jumlah kematian menurun berbanding tempoh yang sama tahun lalu, tetapi jumlah kes denggi meningkat 3.8 peratus.

Pencegahan awal adalah langkah terbaik untuk mengelak anda atau orang disayangi menjadi korban denggi seterusnya dan pastikan tiada tempat pembiakan nyamuk aedes di persekitaran anda.

ANEKDOT

– Demam denggi adalah sejenis penyakit jangkitan virus yang merebak melalui gigitan nyamuk Aedes aegypti yang telah dijangkiti.

– Terdapat empat jenis virus yang boleh menyebabkan demam denggi iaitu DEN 1, DEN 2, DEN 3 dan DEN 4.

– Jangkitan oleh salah satu jenis virus akan memberikan imuniti terhadap virus jenis itu sahaja, jika individu tinggal di kawasan jangkitan denggi, mereka boleh di jangkiti lebih dari sekali seumur hidupnya.

– Lebih 100 negara di Asia Selatan, Asia Tenggara, Afrika, Amerika Timur Mediterranean dan Pasifik Barat mengalami masalah denggi.

– Tanda dan gejala:

> Kebiasaannya demam akan terjadi pada hari ke tiga hingga ke 14 selepas digigit oleh nyamuk yang dijangkiti, kebiasaannya di antara empat hingga tujuh hari.

> Selalunya ia akan bermula dengan demam kuat yang mengejut, sakit kepala yang teruk, sakit pada bahagian belakang mata, otot-otot dan sendi-sendi. Ruam merah di kulit juga boleh terjadi.

> Demam boleh mencapai suhu 40 ke 41 darjah Celsius dan selalunya akan berlarutan selama dua hingga tujuh hari. Ia juga boleh menyebabkan serangan sawan dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur 6 tahun.

> Demam denggi itu juga dikenali sebagai “breakbone fever”.

> Ruam selalunya akan tumbuh pada hari ke tiga dan ke empat selepas bermulanya demam.

> Muntah dan kurang selera makan.

– Rawatan:

> Segera berjumpa dengan doktor kerana tiada ubat yang khusus untuk merawat demam denggi.

> Rehat dan banyakkan minum air masak. Ubat paracetamol boleh diambil untuk menurunkan demam dan mengurangkan kesakitan.

> Elakkan ubat aspirin bagi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.

> Mandi jerlum.

> Antibiotik tidak diperlukan

Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia dan myhealth.gov.my

Sumber