Kerjasama KPJUC bawa Aafiyat Group ke tahap lebih tinggi

Kerjasama KPJUC bawa Aafiyat Group ke tahap lebih tinggi

AAFIYAT Holdings Sdn Bhd atau lebih dikenali sebagai Aafiyat Group mengorak langkah menjalinkan hubungan strategik dengan institusi pengajian berkredibiliti tinggi, KPJ Healthcare University College (KPJUC) dalam penyelidikan dan kajian klinikal yang membawa Aafiyat Group ke satu tahap lebih tinggi.

Presiden Aafiyat Group, Aidil Azwal Zainudin yakin kolaborasi berkenaan dapat memastikan produk keluaran jenama anak syarikat Aafiyat Group iaitu Olive House dan Synergy by Olive House memperoleh pengiktirafan keberkesanan dari sudut saintifik.

“Gerak langkah ini sejajar dengan wawasan Aafiyat Group sebagai organisasi yang berusaha dalam meningkatkan taraf kesejahteraan, kesihatan dan kebajikan masyarakat melalui prinsip serta nilai berpandukan ajaran al-Quran dan disokong dengan penemuan-penemuan kajian saintifik.

“Memorandum Perjanjian (MoA) yang dimeterai hari ini juga merupakan komitmen kedua-dua pihak dalam mengenalpasti projek-projek yang berpotensi akan menyumbang kepada pembangunan akademik, ekonomi, industri dan teknologi bukan sahaja bagi kepentingan kedua-dua pihak tetapi untuk negara,” katanya dalam satu kenyataan pada majlis MoA di KPJUC, Nilai pada Rabu.

MoA berkenaan ditandatangani oleh Naib Canselor KPJUC, Profesor Emeritus Datuk Dr Lokman Saim dan Presiden Aafiyat Group, Aidil Azwal Zainudin.

Dalam pada itu, beliau berharap dengan penglibatan Aafiyat Group bersama KPJUC dapat mendidik masyarakat ke arah mempraktikkan amalan kesihatan yang disokong dengan produk yang terbukti keberkesanannya, selamat dan berkualiti.

Untuk rekod kerjasama strategik berkenaan akan diterajui oleh Fakulti Farmasi KPJUC melibatkan aktiviti penyelidikan bersama yang meliputi bidang farmasi dan farmaseutikal, perancangan penerbitan laporan kajian serta perkongsian program seumpamanya untuk kepentingan bersama agar dapat dimanfaatkan oleh masyarakat di Malaysia.

Kerjasama ini turut mendapat sokongan erat daripada Hospital Pakar KPJ Seremban yang merupakan ‘KPJ Academic Health Centre’ dengan menyediakan kemudahan penyelidikan klinikal serta tenaga pakar dalam bidang berkaitan.

Kedua-dua pihak akan berkongsi hasil penyelidikan, aporan berkaitan dan juga maklumat akademik lain yang akan diterbitkan di dalam jurnal-jurnal tempatan dan antarabangsa seperti KPJ Journal yang diterbitkan secara berkala oleh KPJUC.

Sementara itu,Naib Canselor KPJUC, Profesor Emeritus Datuk Dr Lokman Saim berkata kerjasama itu dapat memaksimumkan penggunaan dan keupayaan makmal-makmal farmaseutikal di KPJUC dengan menjemput syarikat luar yang berminat untuk membangunkan dan menjalankan penyelidikan di situ.

“Syarikat seperti Aafiyat Holdings akan mendapat manfaat dengan memperolehi hasil produk terbaik berdasarkan teknologi terkini menerusi kajian-kajian penyelidikan berterusan yang dijalankan oleh penyelidik-penyelidik berpengalaman di KPJUC.

“Ini adalah contoh terbaik yang menunjukkan kerjasama antara pusat penyelidikan di universiti boleh membantu dalam meningkatkan lagi jenama industri atau insentif pengkomersilan yang ditekankan oleh Kementerian Pengajian Tinggi khasnya,” katanya.

Sumber