Kerajaan perhalusi cadangan NCCIM perkasa pelaburan langsung domestik

Kerajaan perhalusi cadangan NCCIM perkasa pelaburan langsung domestik

SHAH ALAM – Kerajaan akan memperhalusi cadangan yang dikemukakan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) terutama dalam memperkasakan pelaburan langsung domestik (DDI).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, negara yang kini dalam fasa peralihan endemik dan DDI adalah elemen terpenting bagi pemulihan ekonomi.

“Antara cadangan tersebut termasuklah melaksana kajian berkaitan inisiatif bagi mengurangkan 50 peratus kekangan birokrasi, melakukan penyatuan dan penyelarasan insentif pelaburan.

“Selain itu, merekayasa proses pengurusan buruh asing, menyediakan pelan tindakan untuk mengembang rangkaian perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan pelaburan langsung asing (PKS-FDI),” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) pada Isnin yang membincangkan dua perkara utama berhubung DDI dan pemerkasaan pusat sehenti (One Stop Centre – OSC) pihak berkuasa tempatan (PBT).

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, bagi melonjakkan potensi DDI, kerajaan akan terus memperbaiki kualiti perkhidmatan PBT khususnya memperkasakan pelaksanaan OSC 3.0 kepada OSC 3.0 Plus agar sentiasa efisien, cepat dan telus.

Menurutnya, OSC 3.0 Plus adalah prosedur lengkap dan seragam berdasarkan undang-undang semasa bagi mengawal selia dan memudah cara proses pemajuan di kawasan PBT sehingga bangunan layak diduduki menggunakan aplikasi digital sepenuhnya di semua 98 PBT di Semenanjung Malaysia.

“Penambahbaikan tersebut melalui pengenalan Sistem OSC 3.0 Plus Online dengan penekanan kepada aspek ‘teach in’, pengurusan aduan dan sesi libat urus pemegang taruh termasuk membangun mekanisme pusat sehenti pelesenan secara digital.

“Proses pemulihan ekonomi negara kini berada pada momentum terbaik. Justeru, kerajaan akan memastikan DDI terus dirangsang dengan mengambil pendekatan mempermudahkan urusan para pemain industri,” katanya.

Sumber