Kenaikan tarif elektrik: Pertimbangkan subsidi bersasar

Kenaikan tarif elektrik: Pertimbangkan subsidi bersasar

KENAIKAN tarif elektrik tidak dapat dielakkan kerana kos penjanaan elektrik telah meningkat dengan mendadak dan pantas tetapi keperluan golongan tertentu harus dipertimbangkan, kata ahli ekonomi.

Kenaikan tarif tidak dapat dielakkan disebabkan oleh permintaan tenaga melonjak, gangguan bekalan bahan api serta kekurangan minyak, gas dan arang batu yang semakin meningkat di peringkat global telah menyebabkan harga tenaga global melambung tinggi.

Di peringkat serantau, Singapura, Indonesia, India dan Australia telah menyemak semula tarif sebagai tindak balas kepada ketidaktentuan dalam pasaran tenaga, perang di Ukraine, arang batu, sekatan perjalanan akibat Covid-19 dan musim sejuk semuanya adalah faktor kepada permintaan yang lebih tinggi untuk tenaga dan Malaysia turut terkesan daripada situasi yang berpanjangan itu.

Tindakan yang berkesan atau beransur-ansur harus dilaksanakan untuk memastikan golongan berpendapatan rendah serta perniagaan mikro, kecil dan sederhana yang sudah merasai tekanan akibat kenaikan kos tidak akan mengalami kejutan sekali lagi sekiranya tarif elektrik tempatan disemak semula.

Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kadar tarif akan lebih tinggi untuk isi rumah memandangkan Tenaga Nasional Bhd (TNB) kini menghadapi kos pengeluaran tenaga yang lebih tinggi berikutan kenaikan harga gas dan arang batu.

Pada akhir tahun lepas, harga arang batu melonjak kepada AS$200 (RM846) setan, meningkat daripada sekitar AS$50 setan pada pertengahan tahun 2020; menjelang akhir Mei 2022, harga arang batu telah meningkat kepada AS$434 satu tan dengan arang batu menyumbang 59 peratus daripada sumber utama penjanaan elektrik Malaysia.

“(TNB) perlu memastikan perniagaan itu mampan (sebagai entiti korporat) tetapi saya berharap akan ada beberapa bentuk subsidi disasarkan untuk kumpulan 40 terbawah (B40) berhubung tarif elektrik,” katanya.

Justeru, beliau mencadangkan supaya kerajaan campur tangan dan memberikan subsidi untuk TNB dalam jangka pendek bagi memastikan pelanggan akhir tidak terbeban.

TNB perlu mempelbagaikan sumber gas dan arang batu dan bagi tempoh jangka panjang, memberi tumpuan kepada sumber tenaga boleh diperbaharui seperti solar, hidro dan biofuel.

TNB Fuel Services Sdn Bhd memperoleh arang batu dari Indonesia, Australia, Afrika Selatan dan Rusia tetapi Indonesia menyumbang kira-kira 65 peratus daripada keperluan arang batu TNB.

Menurut Profesor Ekonomi Malaysia University of Science and Technology (MUST) Geoffrey Williams, cadangan kenaikan tarif tidak dapat dielakkan kerana faktor pasaran antarabangsa di luar kawalan Malaysia.

“Kenaikan tarif akan membawa kepada inflasi yang lebih tinggi kerana ia memberi kesan kepada semua harga barangan keperluan dan makanan. Kali terakhir ia berlaku adalah pada awal tahun ini, ia menambah lebih daripada 0.5 peratus kepada inflasi. Ini akan menjejaskan individu berpendapatan rendah dan keluarga besar secara tidak seimbang,” katanya.

Beliau menolak idea menerapkan amalan penggunnaan elektrik yang baik kerana catuan dan tingkah laku pengguna sukar diuruskan apabila melibatkan sebuah keluarga besar.

Profesor Ekonomi di Universiti Sunway, Prof Dr Yeah Kim Leng mencadangkan kerajaan mengambil langkah dengan memberi subsidi untuk meringankan beban pengguna.

“Tambahan pula, struktur tarif boleh diselaraskan supaya beban harga bahan api yang lebih tinggi ditanggung oleh syarikat dan isi rumah yang mampu membayar tarif yang lebih tinggi.

“Adalah kritikal bahawa golongan berpendapatan rendah serta perniagaan mikro, kecil dan sederhana, yang sudah berada di bawah tekanan daripada kenaikan kos tida dikejutkan dengan perubahan harga sekali lagi. Kenaikan tarif harus dilakukan secara berperingkat,” kata Yeah. – Bernama

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber