Kempen ‘Masks4all’ CNI galak pakai pelitup muka

Kempen ‘Masks4all’ CNI galak pakai pelitup muka

SYARIKAT jualan langsung, CNI Enterpise (M) Sdn Bhd menganjurkan kempen ‘Masks4all’ bagi menggalakkan setiap individu menggunakan pelitup muka yang boleh digunakan semula dalam memerangi wabak koronavirus (Covid-19).

Pemilik Pusat Gaya Hidup Sihat CNI Changlun, Siti Rawan Ahmad berkata, kempen berkenaan bukan sahaja memelihara alam sekitar melalui penyelesaian kitar semula, malah dapat mengurangkan pembuangan pelitup muka secara tidak betul.

Menurutnya, pelitup muka diperbuat daripada kain yang selesa digunakan itu diedarkan secara percuma sebagai tanggungjawab sosial (CSR) menerusi Yayasan CNI.

“Pelitup muka ini boleh dibasuh dan digunakan semula, ia selamat digunakan dan mesra alam.

“Ini antara sumbangan CNI kepada masyarakat ketika negara berdepan wabak Covid-19.

“Sebanyak 1,000 unit diedarkan kepada penduduk, persatuan ibu tunggal serta usahawan kecil yang sentiasa bergerak mencari rezeki agar menjaga diri dan kesihatan,” katanya selepas penyerahan pelitup muka guna semula kepada 10 wakil yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah di sini semalam.

Sementara itu, Amiruddin menyifatkan usaha CNI wajar diteruskan dalam mendidik orang ramai menjaga kesihatan diri selepas pasca Covid-19.

“Penggunaan pelitup muka guna semula ini baik untuk alam sekitar. Jangan leka walaupun kita kini berada di penghujung Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kerana kebarangkalian wabak berulang tetap berisiko seperti berlaku di Australia,” katanya.



Sumber