Kempen e-waste jadi teras utama

Kempen e-waste jadi teras utama

KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2020 pada 23 Oktober lalu mengekalkan tema “Alam Sekitar, Tanggungjawab Bersama”.

Majlis sambutan yang telah dirasmikan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man itu memberi fokus kepada empat program utama iaitu Kempen Pengumpulan Buangan Elektrikal Dan Elektronik (e-waste), Sertai Sahabat Sungai melalui Program Denai Sungai Kebangsaan, Kempen Hindari Plastik Sekali Guna dan Penghijauan Bumi & Penanaman Pokok.

Menurut Tuan Ibrahim, bagi meningkatkan kesedaran orang awam akan tanggungjawab terhadap buangan e-waste, semua pihak perlu berganding bahu dan mewujudkan jaringan kerjasama dengan semua lapisan masyarakat dan pihak berkepentingan dalam pengendalian e-waste dari isi rumah.

“Bagi memastikan e-waste yang terkumpul dari isi rumah dikendalikan oleh kemudahan yang dilesenkan oleh JAS secara selamat dan tidak mencemarkan alam sekitar, Kementerian Alam Sekitar & Air (KASA) mengambil inisiatif untuk menetapkan bahawa hari Sabtu terakhir setiap bulan diisytiharkan sebagai hari pengumpulan e-waste di seluruh negara.

“Inisiatif yang akan dilaksanakan mulai Januari 2021 ini diharapkan dapat memastikan e-waste dikumpul dan dikitar semula dengan lebih sistematik dan selamat,” katanya.

“KASA melalui Jabatan Alam Sekitar mencadangkan untuk menetapkan hari Sabtu terakhirpada setiap bulan sebagai hari pengumpulan e-waste di seluruh negara bermula bulanJanuari tahun 2021” – Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man

Beliau juga berharap, penetapan secara simbolik hari “perayaan alam sekitar” dapat dirasai dan diingati oleh setiap rakyat Malaysia bagi melambangkan semangat kebersamaan dalam mengharungi cabaran pengurusan alam sekitar yang semakin kompleks.

Kempen e-waste

Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengadakan Kempen Pengumpulan e-waste bermula 23 September hingga 24 Oktober sempena sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2020.

Kempen tersebut berjaya mengumpul 230,000 kg (230 tan metrik) e-waste dari seluruh negara dan dijangka jumlah ia akan terus meningkat.

E-waste dikategorikan sebagai buangan terjadual kod SW110, di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, melibatkan peralatan elektrik dan elektronik yang rosak, tidak digunakan atau lama/usang seperti telefon bimbit, komputer, televisyen, mesin basuh, peti ais dan pendingin hawa.

Mengapa e-waste perlu di proses semula? E-waste mengandungi bahan toksik dan berbahaya seperti plumbum, raksa, arsenik, kadmium, selenium, kromium heksavalen dan penebat api yang berpotensi memberi kesan sangat serius kepada kesihatan manusia dan alam sekitar.

Kuantiti e-waste yang dihasilkan daripada perumahan, komersial dan institusi semakin meningkat dan dianggarkan telah mencapai 53 juta pada tahun 2020 iaitu 3.5 kali lebih tinggi berbanding tahun 1995.

E-waste juga menjadi sumber kerana sisa elektronik mempunyai pelbagai jenis logam berharga yang boleh dikitar semula. Sebagai contoh, televisyen mengandungi tembaga, besi, gelas dan plastik. Terdapat 75% daripada komponen TV boleh dikitar semula untuk digunakan sebagai sumber bahan mentah.

Kesan sampingan

Apakah risiko jika e-waste tidak dikitar semula? E-waste memerlukan perhatian semua pihak kerana ia boleh memberi impak kepada kesihatan manusia dan ancaman kepada alam sekitar.

Bahan-bahan seperti plumbum, merkuri, kadmium, barium, berilium dan raksa yang terdapat di dalam e-waste boleh mengakibatkan kerosakan pada sistem saraf pusat dan buah pinggang serta pertumbuhan otak boleh terbantut di kalangan kanak-kanak.

Bahan toksik ini juga boleh mengakibatkan kesan buruk kepada kesihatan manusia seperti kerosakan hati, saraf dan teratogenik.

Kandungan raksa di dalam rantaian makanan pula boleh menyebabkan kerosakan yang kronik pada otak, pernafasan dan penyakit kulit sekiranya kita memakan makanan tersebut.

Orang awam diseru menyokong kempen ini dengan membawa e-waste ke pusat pengumpulan yang berdaftar dengan JAS berdekatan kawasan masing-masing.

Maklumat pusat pengumpulan boleh didapati di laman web JAS http://www.doe.gov.my/hhew/collection-points/.

SEJARAH HARI ALAM SEKITAR:

* Hari Alam Sekitar Negara merupakan acara tahunan yang telah disambut sejak tahun 1989.

* Ia dikenali sebagai Minggu Alam Sekitar Negara yang disambut pada 21 hingga 27 Oktober.

* Pada tahun 2016, Minggu Alam Sekitar Negara dijenamakan kepada Hari Alam Sekitar Negara dan disambut pada 21 Oktober.



Sumber