Kejayaan Keluarga Malaysia cerminan bangunnya negara

Kejayaan Keluarga Malaysia cerminan bangunnya negara

KUALA LUMPUR – Keperluan untuk melihat bangunnya sesebuah negara sebagaimana gagasan Keluarga Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah seiring dengan kehendak agama yang matlamat akhirnya adalah untuk saling berkenalan antara satu sama lain dan menyantuni perbezaan yang ada.

Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Mejar Jeneral (B) Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, dalam konteks negara ini, Keluarga Malaysia terdiri daripada gabungan yang begitu besar, merangkumi semua negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, Keluarga Malaysia yang diharapkan adalah tidak melihat kepada hanya satu bangsa, tetapi kepelbagaian bangsa, budaya, agama, anutan, bahasa percakapan yang kemudiannya membentuk sebuah keluarga yang diimpikan.

“Dalam membentuk Keluarga Malaysia yang diimpikan, kita harus menjadi manusia yang boleh memperbaiki diri. Paling tidak, jika tidak boleh menjadi garam, jangan kita menjadi langau.

“Kalau kita tidak mampu untuk menjadi garam untuk mengekalkan kesegaran dan kesedapan makanan atau ikan yang hampir busuk, tapi bila dikenakan garam, ia akan menjadi makanan gantian. Walaupun ia tidak lagi menjadi ikan segar, tapi ia menjadi ikan masin yang menyelerakan.

“Namun kalau kita tidak dapat untuk menjadi garam, janganlah kita menjadi langau yang bukan untuk menyegarkan ikan itu, tapi merosakkannya. Begitulah simbolik impian dan matlamat utama kita dalam membina Keluarga Malaysia yang dapat hidup dalam negara yang aman dan makmur,” katanya.

Beliau menyampaikan Pesan Keluarga Malaysia itu pada Program Keluarga Malaysia #QuranHour bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Program tersebut dianjurkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat (KPWM) sebagai penyelaras program dan Sinar Harian sempena Hari Terbuka Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari.

Antara tetamu yang hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff; Timbalan Ketua Pengarah Dasar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Hakimah Mohd Yusoff; Timbalan Ketua Setiausaha Strategik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dr Hishamuddin Hashim; Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan, Zabidi Nasan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail yang juga pentadabbur My #QuranTime turut menyampaikan tiga resolusi Keluarga Malaysia #QuranHour pada majlis berkenaan, iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

Keterangkuman yang dimaksudkan adalah sentiasa cakna dan berkasih sayang sesama ahli keluarga agar kekal menyerah diri kepada ALLAH (Islam) dan tidak melakukan maksiat manakala kebersamaan pula adalah bagi memanfaatkan masa, panjang atau pendek bersama keluarga melaksanakan program pendidikan dan projek kebaikan.

Kesyukuran pula bermaksud mensyukuri nikmat agama kepada Tuhan dengan tidak mensyirikkanNya dan mengamalkan budaya ini sesama ahli keluarga.

Sumber