Kejar, buru keberkatan Lailatul Qadar

Kejar, buru keberkatan Lailatul Qadar

JOHOR BAHRU – Umat Islam diseru mengejar saham akhirat dan memburu keberkatan Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir Ramadan tidak lama lagi.

Pengusaha Rumah Ngaji Johor, Roziah Kamal berkata, Ramadan adalah bulan penuh keberkatan dan menjadi satu kerugian jika tidak mengambil peluang merebut ganjaran berganda disediakan ALLAH.

“Inilah masa untuk kita pulun habis, kejar saham akhirat. Mungkin orang tak sedar tapi kempen sebegini perlu diajak. Janganlah habiskan masa pada perkara yang kurang memberi impak pada akhirat kita

“Kalau boleh 10 malam terakhir itu kita beramal dan bersedekah kerana ada satu hari yang diberi kebaikan itu lebih baik daripada seribu bulan iaitu Lailatul Qadar,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Menurutnya, Rumah Ngaji Johor merancang pelbagai program sepanjang Ramadan ini dan beliau akui bersyukur kerana mendapat sokongan daripada pihak-pihak tertentu.

“Setakat ini memang pelbagai program sudah dijalankan malah ada bermacam lagi menanti sehingga hujung Ramadan. Untuk saya laksanakan seorang diri memang tak larat.

“Kita tahu kekuatan dan kelemahan kita jadi dengan kerjasama pelbagai pihak Alhamdulillah perancangan itu kita berjaya laksanakan,” katanya.

Semalam, program Ramadan Mukjizat al-Quran berlangsung di Kompleks Raudhatul Mariam, Skudai berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 100 orang peserta pelbagai peringkat umur yang mendengar Ustaz Ambya Abu Fathin berkongsi tip menghafaz dan memahami al-Quran.

Rumah Ngaji Johor bakal menganjurkan program khatam al-Quran beramai-ramai 25 Mei ini selain program bersama 21 keluarga asnaf yang ditaja sepanjang tahun.

Tidak ketinggalan, Rumah Ngaji Johor akan turut serta dalam program tahunan, World Quran Hour 30 Mei ini dan menaja makanan dan barangan kepada 200 mualaf dengan kerjasama Jalinan Harmoni.

Antara program yang dianjurkan sehingga kini termasuklah solat tasbih, hafazan 10 ayat pertama surah al-Kahfi dan pemahaman terjemahan al-Quran selama sehari.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *