Kegilaan terhadap game online ada faedah tak?

Kegilaan terhadap game online ada faedah tak?

BUKAN mudah untuk mengatakan tidak atau berhenti apabila terlalu asyik dengan game online atau permainan video. Keseronokan yang dinikmati dan mengejar matlamat dalam permainan yang belum sampai membuatkan pemain tidak sedar masa berlalu. Akhirnya perkara yang perlu diselesaikan dan menjadi kewajipan ketika itu terbengkalai.

Laporan yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) amat mengejutkan, apabila mengklasifikasikan ketagihan permainan video online atau ‘gaming disorder’ sebagai penyakit mental dalam manual penyakit 2018. Dalam draf kedua kemas kini ke-11 Klasifikasi Penyakit Antarabangsa (ICD-11) WHO, ketagihan permainan video telah dimasukkan dalam kategori ‘gangguan mental, tingkah laku atau perkembangan otak.’

Seteruk itulah kesan kepada mereka yang terlalu obses terhadap permainan online ini. Apakah game online ini tidak dapat dikawal oleh seseorang itu apabila mula bermain. Dan apakah sebenarnya yang dicari oleh kaki game ini dalam menikmati permainan atas talian?. Oh! Lelaki membincangkan topik menarik ini dengan menemu bual mereka yang terlalu obses pada permainan ini.

Perlu ada jadi diri

Permainan video tidak asing bagi Amir Azareen Omar, yang lahir era 80-an iaitu pada awal kemunculan ‘video game’. Pentadbir Kanan Sistem di Pos Digicert Sdn Bhd itu berkata, dia bermula dengan permainan video Snes, Sega Genesis, playstation, ps2, ps3, ps4 dan komputer. Pelbagai genre game dikuasai, namun kini dia lebih fokus kepada permainan berbentuk sukan atau PVP (Player-Versus-Player).

AMIR

AMIR

**

Game yang menjadi fokus adalah PES. Daripada hobinya ini jangan terkejut Amir telah dilantik sebagai pro-gaming, berfokuskan PES (Pro Evolution Soccer) bersama rakan sepasukannya yang diberi nama Degasa Malaysia dalam sukan elektronik (eSport).

Bagi Amir, menentang sekerasnya permainan video ini boleh membuatkan seseorang itu hilang pertimbangan. Semua itu bergantung kepada seseorang itu cukup kuat untuk berhadapan dengan apa yang dibuatnya. Ujarnya, tidak perlu berbicara tentang game, aplikasi WhatsApp sahaja sudah mampu merosakkan jika seseorang itu tidak ada jati diri.

“Saya kerap mendengar tentang masalah ini dan game (permainan) dipersalahkan. Ini sama sekali seperti situasi, ‘lain bengkak, yang lain menanah’. Game sering dijadikan alasan sedangkan kendiri seseorang itu tidak cukup kuat. Apabila anda bermain game jika tanpa kawalan ia sama seperti anda hidup di alam yang lain,” kata Amir beremosi.

Amir memperuntukkan masa antara tiga jam sehari untuk bermain permainan video. Tiada isu perbezaan masa antara pemain luar negara, kerana setiap permainan itu ditadbir penuh oleh pembekal game tersebut.

Menurutnya, mereka akan meletakkan pelayan di setiap rantau, contohnya Asia Tenggara, pelayan (game server) terletak di Singapura dan di situ hanya pemain dari rantau Asia Tenggara akan ‘berjumpa’ secara maya. Namun konfigurasi setiap game berbeza dan pemain untuk sesuatu game harus tahu tentang ini.

Amir berkongsi kesan positif kepada pemain yang bermain secara betul. Antaranya memberi kemahiran kognitif, koordinasi tangan-mata. Pemain game mempunyai tindakan refleks yang bagus daripada permainan yang memerlukan sesuatu tindakan cepat dan tepat.

Game ini juga memberi manfaat dari segi kemahiran berkomunikasi. Contohnya dalam permainan, memerlukan pergerakan sebagai satu pasukan, komunikasi memainkan peranan besar di mana mereka memerlukan untuk berkomunikasi dengan jelas dan ringkas bagi membuahkan pasukan mereka kemenangan.

“Selain rakan-rakan yang dibina melalui rangkaian permainan, boleh menjadi rakan dalam dunia realiti. Menguatkan silaturahim dan tali persahabatan dengan mereka yang tidak dikenali,” kata Amir.

Namun semua itu kata Amir, memerlukan pemain itu ada disiplin yang tinggi, nilai etika yang betul dan ilmu yang cukup apabila terlibat dengan game online ini.

Mungkin tuah buat Amir yang mana hobinya suka bermain permainan video ini dilantik sebagai pro-gaming dalam sukan elektronik. Semua itu tidak mustahil berlaku kepada pemain video lain jika serius dalam sesuatu permainan.

“Terdapat pertandingan secara kecil-kecilan atau besar-besaran di dalam komuniti anda, dan jika anda berani cubalah. Setiap pasukan eSport akan mencari prospek dalam pertandingan ini. Mungkin ini akan menjadi tanda permulaan karier eSport anda,” kata Amir yang menentang konsep taruhan dan judi.

Sepanjang dirinya dalam arena eSport Malaysia, tiada unsur taruhan pernah muncul di depan matanya. Jika ada pun mereka akan diboikot oleh ‘gamer’ Malaysia.

Perlu ada had masa bermain

Bagi juruteknik Anon Sukphasin tidak merasakan permainan video mempengaruhi kerjanya. Ini kerana baginya sebagai orang dewasa seseorang itu harus tahu yang mana perkara penting menyumbang kepada kewangan dan hobi masa lapang.

ANON

ANON

Dia yang mula bermain game semenjak usia 13 mengatakan game itu hanya untuk mengisi masa lapang dan hari minggu sahaja. Apabila bekerja Anon mempunyai prinsip tidak akan menyentuh permainan itu. Jika teringin untuk bermain pada hari bekerja dia akan main selepas waktu kerja.

“Saya tidak pernah berhadapan dengan masalah kehadiran walau suka bermain game online ini. Saya memang ada kumpulan apabila bermain. Namun kumpulan itu hanya bermain untuk berseronok dan waktu untuk kami luangkan masa bersama.

“Memang tidak dinafikan perbezaan zone apabila kita melibatkan pemain seluruh negara. Biasanya mereka bermain 24 jam dan mereka buat duit melalui permainan itu. Saya tidak terlibat dalam permainan sebegini.

“Jika ada pun rasanya tidak ada masalah bagi pemain kerana pemain dari luar negara ini pun tahu masa kita. Mereka sudah tetapkan waktu dan pemain memilih masa yang sesuai dengan mereka jika mahu bermain,” kata Anon.

Menurut Anon, pemain boleh buat duit melalui permainan online. Mereka akan menjual barang ‘rare’ atau ‘legend’ kepada pemain lain yang memerlukan barang itu untuk menambah kuasa permainan mereka.

Harga barangan itu boleh mencecah ribuan ringgit untuk satu barang. Namun tidak semua permainan video ini boleh dijual antaranya seperti CS: Go dan Dota 2.

Tidak dinafikan juga kata Anon, ada orang menggunakan permainan ini untuk berjudi. Namun nasihat Anon sebaiknya tidak dibuat. Ini kerana jika hal ini diketahui oleh pihak developer, pemain boleh ditutup akaunnya.

Menurut Anon dia mula terjebak dalam permainan video ini daripada pengaruh rakan-rakannya. Sehingga sekarang Anon masih aktif bermain, antara permainan yang disukainya seperti Worked 3, Dota Allstar, yang sekarang ini telah menjadi Dota 2, dan Counter Strike Zero.

Bagi Anon, dia masih boleh mengawal hobinya itu dan tidak akan obses dengan permainan online ini. Dia lebih suka bermain di kafe siber yang ada konsol dan selalunya akan habiskan masa selama enam jam. Jika di rumah dia menggunakan telefon bimbit.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *