Kedai serbaneka harga murah dalam kilang Jepun

Kedai serbaneka harga murah dalam kilang Jepun

KOTA BHARU – Syarikat elektronik terbesar di Kelantan, Rohm-Wako Electronics (Malaysia) Sdn Bhd (Rohm-Wako) membangunkan sebuah kedai serbaneka di dalam kilang yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa II, Padang Tembak di sini hari ini.

Presiden Rohm-Wako Malaysia, Hideki Hashimoto berkata, pembukaan kedai serbaneka itu dibuat sempena tahun ke-30 penubuhan Rohm-Wako di Kelantan.

Menurutnya, kedai serbaneka itu menjual barangan kepada kesemua 2,200 pekerjanya dengan harga lebih murah berbanding premis di luar kilang terbabit.

Telur antara keperluan asas yang turut dijual di kedai itu.

Telur antara keperluan asas yang turut dijual di kedai itu.

“Kedai ini menyediakan barangan keperluan asas dan barang runcit yang mendapat permintaan tinggi daripada pekerja sendiri.

“Harga barangan pula lebih murah daripada dijual di kedai lain dan ada potongan sehingga lima peratus bagi barangan terpilih termasuk telur, makanan sejuk beku, bahan pencuci, biskut dan sebagainya,” katanya ketika ucapan Majlis Perasmian Kedai Serbaneka RWEM Express di sini semalam.

Beliau berkata, pembangunan kedai serbaneka di bawah Jabatan Hal Ehwal Umum syarikat berkenaan bertujuan memberi kemudahan kepada setiap pekerja untuk mendapatkan barangan keperluan asas mereka dengan harga yang murah.

Beraneka jenis shushi juga dijual di kedai sebaneka di dalam kilang Jepun terbabit.

Beraneka jenis shushi juga dijual di kedai sebaneka di dalam kilang Jepun terbabit.

Katanya, pihak syarikat bekerjasama dengan AEON Mall untuk membuka kedai serbaneka itu dengan menyediakan tempat dan utiliti manakala keuntungan pula hanya kepada pihak peniaga AEON.

“Syarikat tidak mengambil apa-apa keuntungan daripada penjualan setiap barangan di kedai ini dan pembinanya hanya semata-mata demi menjaga kebajikan setiap pekerja yang berkhidmat di Rohm-Wako.

“Kebajikan pekerja menjadi keutamaan pihak syarikat supaya pekerja berada dalam keadaan senang hati dan lebih produktif,” katanya.

Rohm-Wako juga menyediakan set makanan termasuk minuman yang murah serendah RM1 bagi sarapan seperti nasi goreng atau mi goreng.

Selain itu, set makan tengah hari seperti nasi briyani berlauk ayam merah, acar dan dalca dijual dengan harga RM2 serta menu paling mahal hanya RM5 iaitu spageti bersama kebab manakala air kopi dan Milo dijual hanya 50 sen secawan.

Pekerja kilang itu juga menerima elaun makanan RM50 sebulan, kemudahan tempat letak kereta percuma dan buggy bagi memudahkan pergerakan di dalam kawasan persekitaran kilang.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *