Kedai DMart DMDI bakal tambah cawangan

Kedai DMart DMDI bakal tambah cawangan

KEDAI Serbaneka pertama di bawah Yayasan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) bakal melebarkan sayap dengan menambah enam cawangan baharu sepanjang tahun ini.

Pengusaha DMart Bukit Beruang, Datin Seri Azreen Abu Noh berkata, ia termasuk tiga cawangan baharu kedai DMart yang akan dibuka di negeri ini dan selebihnya akan dibuka di Kuala Lumpur tidak lama lagi.

Menurutnya, kedai DMart yang memiliki konsep tersendiri dan bukan hanya kedai serbaneka semata-mata telah menunjukkan keuntungan positif sekali gus menyasarkan nilai jualan RM1 juta pada tahun ini.

“Kedai DMart yang pertama kita buka di Kota Cemerlang, Ayer Keroh iaitu ketika pandemik Covid-19 pada tahun 2020.

“Melihat respon positif kita memberanikan diri untuk menambahkan lagi cawangan baharu selain cawangan sedia ada di Bukit Beruang dan Jalan Hang Tuah,” katanya.

Azreen berkata demikian kepada pemberita ketika program sumbangan ‘beg terkejut’ Ramadan di Bukit Beruang di sini, pada petang Rabu.

Jelasnya, sumbangan berupa barangan keperluan rumah atau barang makanan yang dijual di kedai DMart akan diberikan kepada orang ramai secara pandu tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang.

Menurutnya, ini merupakan salah satu usaha untuk menyemarakkan bulan Ramadan dengan pelbagai aktiviti kebajikan terutama membabitkan pelajar dan penduduk setempat.

“Kita telah bermula program ‘beg terkejut’ ini sejak Jumaat lalu dan akan diteruskan setiap minggu sepanjang Ramadan.

“Secara tidak langsung dapat meringankan beban mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Pada majlis itu turut diedarkan sebanyak 50 ‘beg terkejut’ dan bubur lambuk kepada orang ramai.

Sumber