KBS x Impact Malaysia : PROJEK ARTIKEL 11: INISIATIF KE ARAH MALAYSIA INKLUSIF

KBS x Impact Malaysia : PROJEK ARTIKEL 11: INISIATIF KE ARAH MALAYSIA INKLUSIF

Program “Projek Artikel 11” telah disifatkan sebagai aktiviti “penginjil” atau dakwah ke arah agama Kristian, menurut catatan media sosial dari akaun Facebook “Che’GuBard Original” pada 13 Mac 2023 jam 3:25 petang. Impact Malaysia ingin menawarkan penjelasan mengenai program ini dalam hal ini.

Program “Projek Artikel 11” merupakan sebahagian daripada inisiatif #MalaysiaInklusif yang diterajui Impact Malaysia, agensi di bawah kawal selia Kementerian Belia dan Sukan (KBS). #MalaysiaInklusif merupakan sebuah kempen berintegrasi ke arah objektif meningkatkan persefahaman belia Malaysia dari segi budaya pelbagai kaum dan agama di dalam masyarakat majmuk yang wujud di Malaysia.

Program ini bertujuan untuk mendedahkan golongan belia Malaysia tentang budaya dan kepercayaan pelbagai bangsa untuk meningkatkan sifat inklusif melalui aktiviti lawatan dan kesukarelawanan di Lembah Klang. Projek Artikel 11 mempunyai dua (2) gerak kerja. Pertama, lawatan menerusi program “Jom Ziarah” di mana belia akan dapat menziarahi rumah ibadat yang berlainan daripada agama sendiri untuk tujuan melihat persamaan nilai dan perbezaan agama. Kedua, belia mengikuti aktiviti kesukarelawanan untuk membantu golongan rentan yang dianjurkan oleh pertubuhan kebajikan berasaskan agama, supaya belia dapat memahami bahawa semua agama mempunyai persamaan dari segi nilai murni dan menganjurkan inisiatif bersifat kebajikan.

Program “Projek Artikel 11: Jom Ziarah Gereja” dan “Projek Artikel 11: Jom Ziarah Kuil Hindu” akan dijalankan pada tarikh 18 dan 19 Mac 2023. Program “Jom Ziarah Gereja” merupakan lawatan ketiga, dan lawatan sebelum ini adalah menerusi program “Jom Ziarah Masjid” di Masjid Wilayah Persekutuan pada 4 Mac 2023 yang telah melibatkan 8 peserta berbangsa Cina dan India. Program “Jom Ziarah Gurdwara” di Gurdwara Sahib Shah Alam pada 11 Mac 2023 yang telah melibatkan 3 peserta berbangsa Cina.

Pihak Impact Malaysia mengalu-alukan penyertaan daripada rakyat Malaysia untuk menyertai program Projek Artikel 11. Untuk maklumat lanjut mengenai program-program kelolaan Impact Malaysia, sila layari www.impact.my dan ikuti laman media sosial Impact Malaysia, Facebook/Twitter @impactdotmy, Instagram @impactmsia atau Tiktok @impactmalaysia.