Kaspersky meterai perjanjian dengan polis antarabangsa Interpol

Kaspersky meterai perjanjian dengan polis antarabangsa Interpol

KASPERSKY mengukuhkan lagi kerjasama dengan pasukan polis antarabangsa, Interpol melalui perjanjian lima tahun yang baharu bagi memerangi jenayah siber seluruh dunia.

Perjanjian kedua itu dimeterai selepas yang pertama ditandatangani pada tahun 2014 lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kaspersky, Eugene Kaspersky dan Pengarah Eksekutif Perkhidmatan Polis Interpol, Tim Morris menandatangani perjanjian itu di Interpol World 2019 di Singapura baru-baru ini.

Melalui perjanjian tersebut, Kaspersky akan memberi sokongan sumber manusia, latihan dan data perisikan ancaman terhadap aktiviti jenayah siber terkini kepada Interpol selain mengukuhkan keupayaan memburu ancaman siber terhadap organisasi.

“Kerjasama itu menguatkan lagi hubungan sedia ada antara kedua organisasi, memastikan perkongsian maklumat dan teknologi dapat menyokong Interpol dalam siasatan berkaitan jenayah siber,” kata Eugene dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Dalam perjanjian baharu itu juga, Kaspersky akan berkongsi maklumat mengenai penyelidikan ancaman siber dan menyediakan keperluan yang diperlukan untuk membantu forensik digital yang bertujuan untuk memperkuatkan usaha pencegahan serangan siber.

Menurut Eugene lagi, kerjasama seluruh ekosistem dan perkongsian kepakaran lebih penting selepas munculnya pelaku ancaman yang semakin canggih.

“Kami teruja untuk meneruskan kerjasama dengan Interpol dan memperkasakan undang-undang dengan teknologi dan maklumat yang diperlukan bagi memerangi jenayah siber seluruh dunia,” katanya.

Kaspersky baru-baru ini turut mengumumkan perkhidmatan percuma untuk agensi penguatkuasaan undang-undang bagi meningkatkan kesedaran mengenai operasi perkhidmatan Kaspersky dan bagaimana mereka membantu memerangi jenayah siber.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *