Kapsul Hadis 1.0 santuni isu kepimpinan

Kapsul Hadis 1.0 santuni isu kepimpinan

SHAH ALAM – Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) mengajak orang ramai untuk mendekati hadis dalam mengambil panduan isu kepimpinan melalui Kapsul Hadis 1.0 bertajuk “Politik & Kepimpinan”, di semua platform digital My #Hadithtime.

Pengacara dan Penyelidik My #HadithTime, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi yang menjadi hos Kapsul Hadis berkata, program tersebut adalah rakaman ringkas kurang empat minit yang menghuraikan pelbagai topik isu kepimpinan semasa berdasarkan hadis.

Beliau yang juga Timbalan Dekan Penyelidikan & Inovasi, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) merupakan penulis buku “40 Hadis: Politik & Kepimpinan”. Sebanyak 39 episod Kapsul Hadis bersiaran secara dalam talian sejak 16 Ogos lal.

“Buku tersebut merupakan respon saya dalam melihat isu kebejatan politik dan kepimpinan yang dilihat memerlukan bimbingan dan panduan daripada Rasulullah SAW. Ia dimuatkan hadis-hadis Nabi bagi membimbing masyarakat memilih pemimpin yang benar-benar mematuhi panduan yang digariskan oleh Baginda SAW.

“Masyarakat Islam hari ini kurang mendapat pendedahan pengajian hadis berbanding kursus tadabur al-Quran, modul motivasi dan pengajian berteraskan al-Quran. Mereka perlu sentiasa mengingati Rasulullah SAW dengan mendengar hadis dan nasihatnya.

Ahmad Sanusi Azmi

Ahmad Sanusi Azmi

“Inisiatif penyiaran video Kapsul Hadis dalam talian oleh WUIF, diharapkan dapat menghidupkan sunnah Rasulullah SAW dalam masyarakat. Idea tercetus apabila melihat keperluan memberi panduan dan maklum balas mengenai isu semasa berteraskan bimbingan daripada Rasulullah SAW.”

Tambah beliau, pendekatan Kapsul Hadis bersesuaian dengan masyarakat yang cenderung untuk mendapatkan maklumat ringkas, cepat dan padat. Ia sebagaimana ayat-ayat Makki yang diturunkan buat penduduk Makkah ketika ayat al-Quran di peringkat awal diturunkan.

“Konsep surah Makki yang diturunkan sebelum Hijrah diwahyukan dalam format yang ringkas tetapi padat menyentap jiwa kaum Quraish yang mendengarnya.”

“Saya percaya bahawa pemimpin yang berkualiti dan berwibawa akan terhasil apabila masyarakat sendiri menitikberatkan kepimpinan berteraskan al-Quran dan hadis.

“Apa yang berlaku hari ini, barisan kepimpinan bukan sahaja tidak menampakkan kesungguhan dalam menjunjung al-Quran dan Hadis, malah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan sumber utama tersebut,” katanya.

Ahmad Sanusi kini mengikuti rakaman Kapsul Hadis 2.0 bertajuk “Rasuah & Amanah” untuk bersiaran di platform digital yang sama pada 10 Januari 2022. Beliau berharap masyarakat kembali kepada panduan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW.

“Pilihlah pemimpin yang benar-benar menjunjung perintah ALLAH dan Rasul-Nya. Insya-ALLAH, kita berupaya untuk memperbaiki kerosakan yang berlaku dalam sistem politik dan kepimpinan yang berpunca daripada ketamakan jiwa dan jauhnya kita dari prinsip yang dijelaskan di dalam al-Quran dan hadis,” katanya.

Untuk mengikuti Kapsul Hadis, sila layari, https://www.facebook.com/myhadithtime

Sumber