Kaprima susu kambing UHT pertama di Malaysia

Kaprima susu kambing UHT pertama di Malaysia

MASALAH jangka hayat susu kambing dihasilkan tidak mampu bertahan lama telah menyebabkan syarikat Tenox Agrobusiness Sdn Bhd meneroka teknologi baharu menerusi kaedah ultra heat temperature (UHT).

Pemiliknya, Muhammad Hariz Nordin, berkata, inisiatif itu diambil selepas syarikat berkenaan sering mencatatkan pemulangan produk yang tinggi daripada peruncit.

“Sebelum ini, susu kambing berpastur yang dihasilkan secara tradisional itu sukar untuk dipasarkan kerana jangka hayatnya sekadar bertahan antara empat hingga lima hari.

“Hal tersebut menyebabkan pasarannya terhad dalam pasar tani dan pasar raya sahaja,” katanya kepada Bisnes Sinar.

Susulan itu, katanya, beliau mengambil keputusan membeli mesin menghasilkan susu UHT agar produk dikeluarkan Tenox Agrobusiness terjamin kualitinya, sekali gus menjadikan syarikat itu sebagai pengeluar susu kambing UHT pertama di Malaysia.

Menurutnya, sebanyak RM1.2 juta telah dibelanjakan oleh syarikat itu untuk membeli dan memasang mesin bagi tujuan berkenaan.

Beliau berkata, perkara tersebut penting kerana susu yang dihasilkan mempunyai kualiti berbeza.

“Berbanding susu berpastur yang saya hasilkan sebelum ini, ia hanya mampu bertahan 21 hari dan perlu disimpan dalam suhu sejuk antara 0 hingga 4 darjah celcius dan mudah masam jika disimpan dalam suhu bilik.

“Susu UHT boleh disimpan pada suhu bilik, dapat dipamerkan di rak kering dan sejuk dan mampu bertahan sehingga enam bulan selain tidak mempunyai bau yang kurang menyenangkan,” katanya.

Malah, jelasnya, cara pemprosesan susu UHT juga lebih mudah dan cepat.

“Susu UHT dipanaskan pada suhu 135 darjah celcius selama empat saat dan dapat disejukkan pada suhu 4 darjah celcius selama 15 saat.

“Sementara susu berpastur pula perlu dipanaskan pada suhu 72 celcius selama 30 minit dan mengambil masa satu jam untuk suhu turun kepada 40 celcius,” katanya yang memiliki kilang pemprosesan susu di Jenang, Marang, Terengganu.

Meningkat

Muhammad Hariz berkata, sejak meneroka kaedah penghasilan susu UHT, pengeluaran susu kambingnya meningkat kepada 58,000 botol sebulan berbanding hanya 12,000 botol sebelum ini.

“Buat masa ini, susu kambing UHT yang dihasilkan oleh Tenox Agrobusiness dijual dalam bentuk botol 125 mililiter.

“Ia boleh didapati dalam perisa asli, coklat dan strawberi. Selepas ini saya merancang mahu mengeluarkannya dalam perisa jagung, espresso dan keladi,” katanya.

Tambahnya, produk yang menggunakan jenama Kaprima itu diedarkan melalui 68 ejen di seluruh negara.

Bagaimanapun, katanya, beliau berdepan dengan cabaran kekurangan bekalan susu.

 Susu Kambing UHT Kaprima Dairy Farm

Susu Kambing UHT Kaprima Dairy Farm

“Bekalan susu diperoleh dari ladang kami di Setiu, Terengganu dan beberapa ladang lain daripada penternak masih tidak konsisten kuantiti bekalannya.

“Mesin mampu mengeluarkan sebanyak 8,000 liter sehari namun syarikat hanya mencapai pengeluaran 250 liter sehari kerana masalah kekurangan bekalan susu ini,” katanya.

Sungguhpun begitu, masalah tersebut tidak menghalang Tenox Agrobusiness untuk memasarkan produk keluarannya ke luar negara seperti Singapura, Brunei dan Arab Saudi.

Potensi

Berkongsi latar belakang perniagaannya, Muhammad Hariz berkata, beliau memilih perniagaan susu kambing selepas melihat industri penternakan mempunyai potensi di Terengganu.

Selain itu, katanya, minat terhadap haiwan juga mendorongnya untuk meneroka perniagaan berkenaan.

Menurutnya, pada 2011 beliau nekad meninggalkan kerjayanya sebagai jurutera dan menceburi bidang penternakan.

Lelaki berusia 34 tahun yang memegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik dari Universiti of Sunderland, United Kingdom itu akhirnya mengambil keputusan menternak kambing pedaging.

“Selepas tamat belajar, saya aktif bermain kuda. Daripada situ kerap saya berurusan dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

“Melihat saya boleh menjaga kuda pada kos paling rendah, JPV menawarkan peluang menceburi bidang penternakan kambing pedaging,” katanya.

Dengan modal sendiri sebanyak RM200,000, Muhammad Hariz berkata, beliau akhirnya secara serius menternak 247 ekor kambing pedaging dengan membuka ladang di Permaisuri, Setiu.

Bagaimanapun, katanya, beliau menukar model perniagaan berkenaan kepada kambing susu pada 2014 kerana ingin mempelbagaikan produk yang dihasilkan.



Sumber