Kadar penembusan takaful naik kepada 18.6 peratus pada 2021

Kadar penembusan takaful naik kepada 18.6 peratus pada 2021

KADAR penembusan industri takaful Malaysia meningkat kepada 18.6 peratus tahun lepas berbanding 16.9 peratus pada 2020, menurut Persatuan Takaful Malaysia (MTA).

Pengerusinya, Elmie Aman Najas berkata, kenaikan itu merupakan pertumbuhan tertinggi dalam tempoh lima tahun, dengan nisbah jumlah sijil takaful keluarga berkuat kuasa kepada jumlah penduduk Malaysia meningkat kepada 6.07 juta sijil pada 2021 berbanding 5.51 juta pada 2020.

“Pasaran takaful keluarga telah mempamerkan daya tahan yang luar biasa meskipun pandemik dengan caruman takaful tahunan daripada perniagaan baharu mencapai paras dua bilion untuk kali pertama, merekodkan RM2.23 bilion, kenaikan 48.8 peratus berbanding RM1.5 bilion pada 2020.

“Secara keseluruhan, industri perniagaan baharu takaful keluarga mencatatkan caruman kasar RM8.5 bilion, kenaikan 29.7 peratus daripada RM6.59 bilion pada 2020,” katanya semasa pembentangan mengenai prestasi industri pada 2021 sebelum majlis berbuka puasa bersama media, di sini malam ini.

Sebanyak 1,135,189 sijil perniagaan baharu telah dikeluarkan pada 2021, peningkatan 35.2 peratus daripada 839,355 sijil pada 2020 dan jumlah caruman kasar perniagaan berkuat kuasa sebanyak RM7.42 bilion pada 2021 berbanding RM6.12 bilion pada 2020, katanya.

Elmie yang juga Ketua Pegawai Eksekutif AIA Public Takaful Bhd berkata, perniagaan takaful am mencatatkan caruman bertulis kasar sebanyak RM3.83 bilion, perniagaan takaful motor berjumlah RM2.54 bilion, manakala perniagaan takaful kebakaran meraih RM0.69 bilion pada 2021.

“Ini merupakan peningkatan masing-masing sebanyak 10.6 peratus, 11.2 peratus dan 10.3 peratus berbanding prestasi mereka pada 2020,” katanya.

Agensi dan bancatakaful adalah saluran pengedaran utama, masing-masing menyumbang 60.6 peratus dan 14.2 peratus perniagaan.

Bagi perniagaan baharu, agensi merekodkan 85.7 peratus sebagai saluran pengedaran utama bagi pelan takaful “caruman tahunan,” manakala bancatakaful merupakan penyumbang utama bagi pelan “caruman tunggal” sebanyak 52.4 peratus.

Sementara itu, MTA melancarkan program Fund4Cause yang baru ditubuhkan untuk berperanan sebagai pemboleh utama dalam industri takaful bagi mencapai inisiatif terancang di bawah Pelan Strategik 2022-2023 (ISLAH23).

Program itu merupakan Hala Tuju Pengantaraan Berasaskan Nilai untuk Takaful (VBIT) dan Rangka Tindakan Sektor Kewangan 2026 (FSB 2026) yang menyediakan sumber kewangan kritikal kepada empat dana pembangunan industri — Dana Pembangunan VBIT, Dana Takaful Sosial, Dana Pembinaan Kapasiti Industri dan Dana Penjenamaan Takaful.

“Sebagai sebuah kumpulan, syarikat ahli MTA telah mengenal pasti dan memanfaatkan bidang yang akan berfungsi mendorong industri menuju tahap prestasi selanjutnya,” kata Elmie. – Bernama

Sumber