Jualan kenderaan naik kepada 73,222 unit pada Mac: MAA

Jualan kenderaan naik kepada 73,222 unit pada Mac: MAA

KUALA LUMPUR – Jualan kenderaan di Malaysia meningkat kepada 73,222 unit pada Mac tahun ini berbanding 64,938 unit dalam bulan sama pada tahun lepas, menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Dalam kenyataan hari ini, katanya jumlah jualan untuk tempoh awal tahun kewangan hingga setakat ini bagi Mac 2022 naik 12.8 peratus kepada 159,752 unit berbanding 148,155 unit dalam tempoh sama pada 2021.

“Jualan kenderaan penumpang meningkat kepada 65,902 unit pada Mac 2022 berbanding 58,498 unit pada Mac 2021 dan jualan kenderaan komersial naik kepada 7,3201 unit pada bulan tersebut berbanding 6,440 unit sebelum ini.

“Jumlah volum industri (TIV) pada Mac 2022 meningkat 62.5 peratus daripada Februari 2022 (45,051 unit) berikutan galakan yang agresif kepada jualan lebih tinggi oleh syarikat yang mempunyai tahun kewangan mereka berakhir pada 31 Mac, 2022 dan bulan bekerja yang lebih panjang,” menurut MAA.

Dari segi jumlah pengeluaran, menurut persatuan itu, sebanyak 59,908 kenderaan dikeluarkan pada Mac 2022 berbanding 62,221 unit dalam bulan sama pada tahun lepas.

Katanya, pengeluaran kenderaan penumpang berkurangan kepada 55,137 unit pada Mac 2022 berbanding 58,102 unit dalam bulan sama pada tahun lepas manakala pengeluaran kenderaan komersial meningkat kepada 4,771 unit berbanding 4,119 unit sebelum ini.

Mengenai prospek bagi April 2022, MAA menjangka jumlah jualan akan lebih rendah berbanding Mac berikutan kekurangan cip dan komponen, selain kelewatan penghantaran yang dijangka menjejaskan sebahagian syarikat.

“Kebanyakan jualan telah dipenuhi oleh syarikat yang mempunyai tahun kewangan mereka berakhir 31 Mac, 2022,” katanya. – Bernama



Sumber