Jangan culas bayar hutang

Jangan culas bayar hutang

JIKA kita berhutang atau dalam kata lain meminjam daripada pihak bank, agak mudah untuk kita melunaskannya kerana sudah ada dokumen dan pihak yang boleh dirujuk.

Namun, seandainya kita berhutang dengan orang dan terlupa jumlah hutangnya serta tidak tahu di mana keberadaan individu itu, memang sukar untuk kita membayarnya kerana tiada dokumen sebagai rujukan.

Apa yang perlu kita lakukan untuk membayar hutang berkenaan?

Menjawab soalan itu, Islam begitu menitikberatkan perkara berkaitan hutang.

Hutang wajib dibayar dan sekiranya kita terlupa berapakah jumlah hutang dan tidak dapat mengesan di mana pemberi hutang atau warisnya, maka kita perlu mengambil kira kebiasaan kita berhutang pada masa itu (iaitu mengagak jumlah yang dipinjam).

Sebelum itu, eloklah sekiranya kita mencari dahulu pemberi hutang tersebut.

Sebenarnya, dalam hal berkaitan muamalah iaitu hutang dan lain-lain, kita digalakkan untuk menuliskannya.

Ia sebagaimana disebutkan dalam firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu melakukan hutang-piutang untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menulisnya. Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menuliskannya dengan benar…” (Surah al-Baqarah, ayat 282)

Bagaimana jika kita telah berusaha mencari si pemberi hutang tetapi tetap gagal mengesannya, bolehkah ia digantikan dengan bersedekahkah atau berzakat kepada mereka yang memerlukan dengan niat supaya hutang kita terhapus?

Sebenarnya, dibolehkan untuk kita berbuat demikian jika kita telah berusaha mencari pemberi hutang tetapi tidak berjaya menemuinya.

Jadi, jumlah hutang tersebut diberikan kepada yang layak (golongan asnaf) atau kita serahkan kepada pihak Baitulmal dan niatkan harta tersebut sebagai hak pemberi hutang.

Apapun, kita diingatkan agar jangan bermain-main dengan soal hutang.

Walau apapun, ia wajib dibayar meskipun sudah meninggal dunia dan menjadi tanggungjawab waris untuk membayarnya dengan segera.

(Sumber: Portal Rasmi Kemusykilan Agama, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)

Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *