Jadikan al-Quran sebagai solusi kepada segala masalah

Jadikan al-Quran sebagai solusi kepada segala masalah

SHAH ALAM – Umat Islam perlu menjadikan al-Quran sebagai solusi kepada segala masalah kehidupan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Paradigma Ibrah Sdn Bhd, Syaari Abdul Rahman.

Beliau berkata, setiap masalah yang berlaku al-Quran mempunyai jawapan untuk segala persoalan.

“Ini dapat dapat dibuktikan apabila ALLAH SWT menguji Nabi Muhammad SAW suatu ketika dahulu dengan menurunkan ayat suci al-Quran. Maknanya al-Quran ada jawapan untuk segala persoalan.

“Jadi, kalau kita mahu Palestin dan Baitulmaqdis kembali ke tangan umat Islam maka jadikan al-Quran sebagai solusi kepada segala masalah kehidupan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana al-Quran Edisi Khas Al-Quds: Formula kejayaan 7 surah Musabbihat bertajuk Janji ALLAH Pasti Berlaku yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.

Program itu dimoderatorkan oleh Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail dan Qari My #QuranTime, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali yang memperdengarkan bacaan surah Al-Isra’ ayat 105 hingga 111.

Syaari yang juga panel Penyampai Tadabbur Centre Sdn Bhd berkata, surah Al-Isra’ turut menekankan kepada umat Islam untuk mengenalpasti dua cara hidup yang ekstrem.

Beliau berkata, tamadun pertama sangat memuja kepada kebendaan dengan membuang ALLAH SWT dalam kehidupannya, manakala tamadun kedua pula adalah tamadun yang mengutamakan Tuhan dan menolak sepenuhnya keduniaan.

“Jadi Islam ini adalah agama yang sangat memahami hak-hak ketuhanan dan hak-hak kemanusiaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menasihati ibu bapa supaya memanfaatkan tempoh Sekatan Pergerakan Penuh atau ‘total lockdown’ ini dengan mendidik anak bertasbih di rumah.

Beliau berkata, memandangkan negara dilanda dengan musibah pandemik Covid-19 maka amatlah wajar ibu bapa mengajar anak-anak supaya lebih memahami apa itu makna tasbih.

“Tasbih ini adalah menyucikan ALLAH dari segala kekurangan yang tidak layak bagi-NYA. Ini antara mesej kita ketika ‘total lockdown’ supaya anak-anak lebih faham apa makna tasbih iaitu menyucikan ALLAH SWT daripada segala kekurangan.

“Apabila ALLAH berikan kita musibah, maka manusia sangat mudah cenderung untuk melihat kekurangan. Justeru, ALLAH mahu mendidik kita supaya bertasbih ketika ditimpa musibah ataupun berlaku perkara yang tidak diingini.

“Ini juga secara tidak langsung dapat melahirkan minda yang positif, berjiwa besar dan berwawasan,” katanya.

Sumber