Jadikan al-Quran panduan bina legasi harmoni

Jadikan al-Quran panduan bina legasi harmoni

KUALA LUMPUR – Kandungan surah Al-Baqarah dan Ar-Rahman perlu dijadikan sebagai panduan untuk membina legasi harmoni dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail berkata, surah Al-Baqarah menyentuh mengenai kepimpinan dan daripada kejayaan kepimpinan akan mewujudkan satu legasi hebat.

Menurutnya, surah Al-Baqarah yang mengandungi sebanyak 286 ayat juga menjadi modul kepimpinan kepada Nabi Muhammad SAW ketika baginda berhijrah dari Makkah ke Madinah kerana waktu itu baginda tidak tahu memimpin suku Aus dan Khazraj, Yahudi dan Nasrani iaitu masyarakat majmuk.

Katanya, surah Ar-Rahman pula memberi pengertian mengenai nikmat yang diberikan ALLAH kepada manusia yang mana ia berkait dengan harmoni kerana nikmat itu dirasai semua manusia.

“Kalau nak bina legasi iaitu kejayaan sampai ke syurga cara pemikiran perlu berpandukan al-Quran sebagaimana cara berfikir Nabi Ibrahim seperti yang dibaca dalam surah al-Baqarah.

“Apa pula kaitan al-Quran dengan harmoni? al-Quran datang dari Ar-Rahman iaitu ALLAH SAW yang Maha Penyayang. Contoh sifat penyayang itu, ALLAH beri nikmat oksigen kepada semua manusia,” katanya

Fazrul berkata demikian pada program Legacy Talk Show bertajuk ‘Bina Legasi Harmoni’ sempena Program Ar-Rahah #QuranHour di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi di sini hari ini.

Dalam program bual bicara itu, Fazrul bergandingan bersama Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub sebagai panelis dan menampilkan Ketua Imam Masjid Ar-Rahah, Ustaz Khairul Haffiz Abd Halim sebagai moderator.

Topik ‘Bina Legasi Harmoni’ dibincangkan kerana ia dipilih menjadi tema bagi Program Ar-Rahah #QuranHour yang menyaksikan seramai 400 peserta mengambil bahagian dengan bertadarus dan bertadabbur surah Al-Baqarah ayat 1-5 dan surah Ar-Rahman ayat 1-16.

Fazrul berkata, nikmat diberikan ALLAH kepada semua manusia agar manusia dapat hidup dalam keadaan harmoni.

Sehubungan itu, katanya, umat Islam perlu membaca al-Quran, memahami dan mengamalkan apa yang disampaikan kitab suci itu.

“Satu tips yang saya boleh kongsi dari surah Ar-Rahman apa yang penting kita kena fikir sama ada sesuatu perkara yang kita buat itu menambah rahmah atau harmoni dalam kehidupan orang sekeliling atau tidak.

“Kalau ia menyebabkan orang bergaduh maksudnya ia bukan harmoni,” katanya.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *