Ini kelebihan makanan organik

Ini kelebihan makanan organik

APA itu makanan organik?

Kini semakin ramai yang sedar akan kelebihan mengambil makanan organik. Secara amnya, pengguna yang membeli makanan organik adalah kerana mementingkan kesihatan, rasa dan keselamatan makanan tersebut.

Menurut kajian, mereka yang mengalami alergi kepada makanan, bahan kimia atau pengawet selalunya akan mengalami simptom yang berkurangan apabila mengambil makanan organik sahaja.

Kepentingan menjaga alam sekitar juga adalah penyebab mengapa pengguna memilih makanan organik.

Perkataan ‘organik’ bermaksud cara makanan tersebut dihasilkan iaitu melalui proses semula jadi sepenuhnya dan mesra alam.

Makanan organik terbahagi kepada dua jenis iaitu tumbuhan dan haiwan.

Tanpa racun

Makanan organik ialah makanan yang berasal daripada tanaman yang ditanam tanpa racun perosak, baja berasaskan petroleum dan baja yang berasaskan hasil kumbahan.

Tanaman organik mestilah ditanam dalam tanah yang selamat, tiada pengubahan dan mestilah diasingkan daripada produk makanan konvensional.

Manakala daging haiwan dikatakan organik apabila diternak tanpa menggunakan antibiotik, hormon pertumbuhan serta sebarang hasil keluaran haiwan.

Haiwan organik ini juga diberi lebih ruang untuk bergerak dan diberi makan makanan organik.

Logo khas

Kedua-dua produk organik tersebut juga tidak boleh diubahsuai suai secara genetik (non-GMOs). Cara untuk memastikan bahawa makanan itu organik atau tidak, anda mestilah melihat logo khas yang biasanya terdapat pada bungkusan makanan.

Makanan organik biasanya lebih mahal, lebih sihat dan lebih berkhasiat. Rupa makanan organik ini biasanya tidaklah secantik makanan bukan organik kerana tiada perlindungan dari faktor serangga, haiwan perosak dan juga persekitaran.

Apakah kelebihan makanan organik?:

Tiada penggunaan racun perosak

Makanan organik adalah selamat daripada racun perosak. Racun perosak ialah bahan kimia seperti racun kulat (fungicides), racun herba ( herbicides) dan racun serangga (insecticides).

Racun perosak tersebut digunakan secara meluas dalam pertanian konvensional dan sisa racun kekal dalam makanan yang kita makan.

Bahan kimia dalam racun perosak boleh menyebabkan beberapa penyakit seperti kanser, leukimia, ketidaksuburan, penyakit Parkinson, kemurungan dan kekejangan.

Lebih segar

Makanan organik adalah lebih segar disebabkan tidak mengandungi bahan pengawet yang boleh membuatkannya tahan lama. Makanan organik juga mempunyai rasa yang lebih sedap.

Mengurangkan pencemaran

Perladangan dan penternakan organik boleh mengurangkan pencemaran udara, air dan tanah, memulihara air, mengurangkan hakisan tanah dan meningkatkan kesuburan tanah.

Perladangan tanpa penggunaan racun perosak juga menyediakan persekitaran yang baik bagi haiwan-haiwan seperti burung dan haiwan kecil serta manusia yang tinggal atau bekerja berdekatan dengan ladang.

Lebih sihat

Disebabkan tiada racun perosak,bahan kimia atau bahan tambahan dalam makanan bermakna kurang risiko untuk menghidap pelbagai penyakit.

Manakala, haiwan ternakan yang diberi lebih ruang untuk bergerak akan membuatkan haiwan itu sihat. Maka, daging yang dihasilkannya juga adalah sihat.

Kaya dengan nutrien

Mengambil makanan organik boleh meningkatkan pengambilan antioksida sebanyak 20 peratus ke 40 peratus.

Daging dan susu haiwan organik adalah kaya dengan asid lemak omega-3 sehingga 50% lebih tinggi berbanding dengan haiwan yang diternak dengan cara konvensional.

Selain itu, makanan organik juga mempunyai lebih vitamin dan mineral seperti zat besi dan zink.

Tiada organisma diubahsuai secara genetik (non-GMOs)

Organisma diubahsuai secara genetik (GMOs) ialah makanan atau haiwan yang terbina secara genetik yang DNA makanan tersebut telah diubah dalam cara yang bukan semulajadi, biasanya untuk tahan kepada racun perosak.

Makanan yang diubahsuai secara genetik boleh menyebabkan alergi dan melemahkan sistem imunisasi.

Sumber: http://www.gayahidupsihat.com



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *