Influenza bukan penyakit biasa-biasa

Influenza bukan penyakit biasa-biasa

DEMAM dengan suhu tinggi, selesema dan batuk yang berpanjangan membuatkan tubuh kecil itu semakin tidak bermaya dari sehari ke sehari.

Kebimbangan si ibu, Norliyati Osman, 39, bukan kepalang. Masakan tidak, usia anaknya baru lapan tahun. Bayangkan, suhu badan Nur Arfa Dalili Mohd Mazri tidak berganjak antara suhu 39 dan 40 darjah Celcius.

SENTIASA berhati-hati apabila anak-anak demam mungkin ia demam influenza.

SENTIASA berhati-hati apabila anak-anak demam mungkin ia demam influenza.

Untuk seorang kanak-kanak yang tidak aktif dan bermuram durja selama dua minggu, memang tidak senang duduk dibuatnya. Lebih menakutkan ibunya, Nur Arfa juga tidak lalu makan, tidak berdaya dan lesu. Akhirnya, Norliyati mengalah dengan menghantar anaknya ke hospital.

Rupa-rupanya si cilik itu disahkan menghidap influenza!

“Ini pengalaman pertama keluarga kami berhadapan dengan penyakit influenza. Mulanya kami ingat ia demam biasa, namun apabila suhu badan Nur Arfa Dalili tidak berganjak, kami merasakan ada yang tak kena.

“Sepanjang tiga hari berada di dalam wad, anak saya telah diberikan antibiotik setiap tiga jam, barulah demamnya surut,” imbau wanita yang masih fobia terhadap apa yang telah berlaku ke atas anak kesayangannya.

NUR Arfa pernah menghidap influenza

NUR Arfa pernah menghidap influenza

Difahamkan, Nur Arfa Dalili mendapat influenza itu daripada rakan sekelasnya yang batuk dan bersin. Biarpun sudah keluar dari hospital, si kecil itu masih dikuarantin di rumahnya di Puncak Perdana, Shah Alam, Selangor selama seminggu.

Kematian

Berdasarkan kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), virus influenza sebenarnya berlaku sepanjang tahun di kawasan tropika seperti Malaysia.

Wabak itu juga amat aktif pada musim sejuk iaitu pada November hingga Mac di Hemisfera Utara dan dari April hingga September di Hemisfera Selatan. Ia juga mudah tersebar di kawasan beriklim sederhana.

Jika diamati, laporan tahun penularan wabak berkenaan oleh WHO agak menakutkan. Dianggarkan tiga hingga lima juta kes dalam kategori sakit teruk yang mana 250,000 ke 500,000 kes melibatkan kematian.

Di negara perindustrian misalnya, kebanyakan kes kematian berkaitan dengan influenza sering direkodkan oleh golongan dewasa berumur 65 tahun ke atas.

Kajian juga menunjukkan, kira-kira 99 peratus kes kematian dalam kalangan kanak-kanak terdiri daripada mereka yang berumur di bawah umur lima tahun.

Melihat data WHO berkenaan, wajarlah kita semua berasa bimbang dengan situasi penyakit semasa itu.

Pun begitu, masih ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang menganggap demam, batuk dan selesema merupakan satu perkara biasa, lebih-lebih lagi dalam kalangan anak kecil. Cukupkah sekadar memberi si kecil ubat demam secara berterusan? Adakah pendekatan itu tepat? Atau kita dalam kategori ‘tunggu dan lihat’ meskipun anak sudah lebih seminggu demam? Jika ya, anda perlu segera mengubah sikap itu.

Penyakit membimbangkan

Bagi mendapatkan pencerahan mengenai virus influenza dalam kalangan kanak-kanak dan impaknya, Sihat:Aktif mendapatkan pandangan Pakar Perundingan Pediatrik, Hospital Pakar KPJ Damansara, Dr Mohammad Iqbal Mohammad Sarwar.

DR Mohammad Iqbal bimbang tentang situasi penyakit influenza.

DR Mohammad Iqbal bimbang tentang situasi penyakit influenza.

Menurut Dr Mohammad Iqbal, influenza bukan satu penyakit biasa. Ia berbeza berbanding dengan selesema (biasa) yang mana kadar komplikasi dan kematian melibatkannya rendah.

Kata pakar tersebut, influenza dalam kebanyakan kes merupakan penyakit yang lebih membimbangkan.

Mengulas lanjut, Dr Mohammad Iqbal berkata, virus influenza amat mudah berjangkit melalui titisan air yang tersebar melalui mulut dan hidung.

Pastinya apabila pesakit bersin dan batuk, ia secara automatik akan menyebabkan virus tersebar ke udara. Keadaan itu boleh menyebabkan orang yang berada berhampiran terdedah kepada virus.

“Jangkitan boleh merebak dengan cepat dan menyebabkan masalah pernafasan yang teruk terutamanya individu yang berada dalam kumpulan berisiko tinggi,” katanya.

Biarpun anak kecil mudah terkena virus berkenaan, jelas beliau, virus influenza boleh menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengenal umur, jantina, taraf kehidupan atau status kesihatan.

Golongan berisiko pula seperti wanita hamil, kanak-kanak berumur antara enam bulan ke lima tahun dan warga emas berumur 65 tahun ke atas

Individu mengalami obesiti, penyakit kronik seperti penyakit jantung, lelah, kencing manis termasuk pekerja kesihatan juga tidak terkecuali.

Vaksin

Bagaimanapun ujar Dr Mohammad Iqbal, ibu bapa harus berwaspada dengan anak-anak yang berumur di bawah lima tahun.

“Kelompok itu lebih berisiko berbanding kategori lain yang disebut tadi,” katanya.

SUNTIKAN vaksin membantu menghentikan wabak daripada merebak.

SUNTIKAN vaksin membantu menghentikan wabak daripada merebak.

Secara prinsipnya, ujar pakar itu, kanak-kanak yang sedang membesar memerlukan lebih banyak udara, makanan dan minuman mengikut kuantiti pembesaran serta pertumbuhan diri.

Dalam membina tumbesaran, sistem pertahanan diri, pencernaan dan sistem pembiakan kanak-kanak lebih terdedah risiko berbanding dengan orang dewasa.

“Gaya hidup anak seusia itu turut menyumbang risiko apabila mereka lebih kerap bermain berdekatan dengan lantai atau tanah.

“Malahan turut mudah terdedah kepada toksin alam sekitar yang boleh mengakibatkan kerosakan kekal dan berpenyakit setelah dewasa,” katanya.

Justeru, apa langkah pencegahan untuk menghindar wabak influenza?

Cara paling berkesan untuk mengubatinya ialah melalui vaksinasi. Ia lebih selamat dan berkesan untuk kanak-kanak lantaran pendekatan itu sudah digunakan lebih dari 60 tahun, kata Dr Mohammad Iqbal.

Pun demikian, untuk pesakit dewasa, vaksinasi influenza hanya mampu melindungi virus daripada terus merebak. Ini kerana virus itu tidak sepadan dengan vaksin yang diberikan.

Turut melontarkan pandangan mengenai isu kesihatan yang dibawakan Sihat:Aktif pada minggu ini ialah Ketua Jabatan Kecemasan Hospital Pakar An-Nur, Bangi, Selangor, Dr Hamzaini Yussof.

DR Hamzani mahu kanak-kanak sentiasa amalkan kebersihan

DR Hamzani mahu kanak-kanak sentiasa amalkan kebersihan

Senada dengan Dr Mohammad Iqbal, Dr Hamzaini menyarankan agar vaksin influenza diambil setiap tahun.

Ia ekoran virus itu boleh menjangkiti orang yang sama berulang kali dan mudah bermutasi serta terdapat banyak jenis virus influenza, kata beliau.

“Apabila pesakit dijangkiti kuman influenza, badan pesakit hanya menghasilkan imuniti terhadap jenis virus influenza spesifik itu sahaja, tidak kepada jenis virus influenza lain.

“Ini menyebabkan seseorang boleh menghidapi jangkitan influenza banyak kali. Pesakit juga boleh mengambil ubat antivirus oseltamivir atau lebih dikenali dengan nama tamiflu,” kata Dr Hamzaini.

Beliau turut menasihatkan pesakit influenza untuk memakai topeng muka dan tidak digalakkan keluar rumah bagi mengelakkan penyebaran virus influenza ini.

Jika anda terlalu khuatir tentang virus itu, singkirkan sikap itu jauh-jauh. Dr Hamzaini berkata, demam influenza boleh dirawat di rumah sahaja dan hanya sebilangan kecil yang berhadapan dengan komplikasi penyakit itu perlu dimasukkan ke wad.

Virus boleh sebabkan dehidrasi, kegagalan jantung, buah pinggang

SEKIRANYA rawatan terhadap pesakit terkena influenza dilengahkan, ia mampu mengundah padah.

kata dua Pengamal Perubatan Keluarga, Poliklinik Az-Zaara, Ampang, Selangor, Dr Ramzul Adli Mohammad.

DR Ramzul mahu kanak-kanak banyak minum air

DR Ramzul mahu kanak-kanak banyak minum air

Dr Ramzul Adli berkata, antara risiko yang boleh dihidapi jika pendekatan salah itu dipilih ialah boleh menyebabkan komplikasi seperti kegagalan fungsi organ utama seperti jantung dan buah pinggang.

Ujarnya, risiko kematian juga tidak mustahil berlaku yang bukan disebabkan oleh virus influenza tetapi komplikasi penyakit tersebut kepada tubuh badan.

Berkongsi pengalamannya, Dr Ramzul Adli berkata, pada kebiasaannya, bayi dan kanak-kanak perlu ditempatkan di wad adalah disebabkan virus influenza A dan B.

Dalam hal itu, si kecil bukan setakat mengalami demam panas, malah hilang selera makan, batuk, muntah dan dehidrasi. Impaknya, kegagalan organ utama seperti jantung dan buah pinggang boleh berlaku jika lambat dirawat.

“Pesakit kanak-kanak yang kami terima kebanyakannya bawah lima tahun. Mereka mudah dijangkiti kerana mempunyai antibodi yang rendah.

“Keadaan pesakit kanak-kanak biasanya seperti banyak kehilangan air dan mengalami dehidrasi. Masalah kekurangan air dalam badan inilah perlu diberi rawatan segera,” katanya.

Sekali lagi ditegaskan, virus influenza boleh dicegah melalui pengambilan vaksin.

Terkini katanya, vaksin influenza yang terkini seperti Vaxigrip Tetra, Fluquadri dan Fluarix Tetra memberi perlindungan yang terbaik.

Jelas Dr Ramzul lagi, vaksin dapat membantu menghindarkan empat jenis virus influenza berbanding vaksin terdahulu yang hanya memberi perlindungan terhadap tiga jenis virus sahaja.

Kepada orang dewasa pula, beliau menasihatkan agar mereka yang bercadang untuk melancong atau menunaikan umrah, perlu mendapatkan vaksin terlebih dahulu.

ANEKDOT

Info influenza

Jangkitan saluran pernafasan termasuk hidung, tekak dan paru-paru.

Merebak melalui sentuhan atau titisan air dek bersin atau batuk.

Tiga jenis kuman influenza yang menyerang manusia iaitu Influenza A, Influenza B dan Influenza C.

Influenza A lebih merbahaya dan mampu merebak lebih cepat. Ia juga menyebabkan simptom lebih teruk berbanding jenis influenza lain.

SEGERA bawa anak ke hospital apabila demam tinggi berturut-turut.

SEGERA bawa anak ke hospital apabila demam tinggi berturut-turut.

Tanda-tanda:

Simptom influenza dan demam selesema lebih kurang sama pada awalnya. Kemudiannya, simptom influenza menjadi lebih teruk daripada demam selesema.

Demam yang tinggi lebih daripada 38 darjah celcius, sakit-sakit otot dan sendi, kepala, batuk dan selesema, sakit tekak, badan berasa lemah.

Langkah mengawal wabak influenza:

1. Kenali tanda dan rujuk pakar jika mengalami tanda awal.

2. Titik beratkan keadaan kesihatan dan mengambil vaksinasi influenza.

3. Tidak mengambil ringan penjaga kebersihan diri.

4. Jika mempunyai tanda influenza, jauhi dari orang ramai sekurang-kurangnya jarak satu meter.

Sumber: Ketua Jabatan Kecemasan Hospital Pakar An-Nur, Bangi, Dr Hamzaini Yussof

Faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko influenza atau komplikasi:

1) Umur – Kanak-kanak, warga emas, pesakit kronik seperti asma, diabetes atau masalah jantung.

2) Hamil – Wanita hamil lebih cenderung untuk menghidapi komplikasi influenza, terutama pada trimester kedua dan ketiga. Dua minggu selepas bersalin juga lebih cenderung untuk meningkatkan komplikasi yang berkaitan dengan influenza.

3) Obesiti – Orang yang mempunyai BMI sebanyak 40 atau lebih mempunyai risiko komplikasi daripada selesema.

4) Komplikasi – Kanak-kanak dan orang dewasa berisiko tinggi mengalami komplikasi seperti: – Pneumonia – Bronkitis – Serangan asma – Masalah jantung – Jangkitan telinga * Pneumonia adalah komplikasi yang paling serius di mana mereka berisiko boleh maut. – Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit mencadangkan vaksinasi flu tahunan untuk semua yang berumur enam bulan ke atas.

Sumber: www.mayoclinic.org



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *