Indeks pelopor meningkat, ekonomi dijangka terus pulih

Indeks pelopor meningkat, ekonomi dijangka terus pulih

KUALA LUMPUR – Indeks Pelopor (IP) tahunan meningkat 0.3 peratus untuk mencapai 109.5 mata pada Oktober 2021 selepas merekodkan 0.6 peratus pada September 2021, justeru ekonomi negara dijangka terus pulih dalam masa terdekat, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

IP merupakan alat yang digunakan untuk menjangkakan kenaikan dan penurunan ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, import benar semikonduktor kekal sebagai penyumbang utama kepada peningkatan IP dengan permintaan positif terhadap litar bersepadu elektronik.

Sementara itu, kata beliau IP menguncup 0.9 peratus pada bulan rujukan berbanding bulan sebelumnya.

“Penawaran wang benar, M1, diikuti oleh import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain serta bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan merupakan penyumbang utama kepada penurunan IP dengan setiap komponen tersebut merekodkan negatif 0.3 peratus,” katanya dalam kenyataan bagi mengulas Penunjuk Ekonomi Malaysia Indeks Pelopor, Serentak dan Susulan, Oktober 2021 pada Jumaat.

Beliau menjelaskan, prestasi IP pada Oktober 2021 kekal positif dengan IP paling lancar terus berada di atas arah aliran jangka panjang dan bergerak ke atas.

Mohd Uzir berkata, berdasarkan senario tersebut, prospek yang lebih meyakinkan dijangka dicatatkan dalam masa terdekat sekiranya aktiviti ekonomi yang beransur-ansur normal berlanjutan.

“Tambahan pula, pelonggaran progresif sekatan dalam mengurangkan kesan terhadap ekonomi, serta kebenaran semula perjalanan antara negeri membawa sentimen positif kepada ekonomi dalam mengembalikan momentum pertumbuhan,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang Oktober 2021, ekonomi terus bertambah baik apabila lebih banyak negeri memasuki fasa seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Selaras dengan itu, prestasi ekonomi semasa melalui Indeks Serentak (IS) menunjukkan momentum yang lebih baik dengan terus meningkat kepada 2.1 peratus pada Oktober 2021 (September 2021: 0.3 peratus) mencecah 113.3 mata berbanding 111.0 mata yang dicatatkan pada Oktober 2020, katanya.

Mohd Uzir berkata, tambahan pula, IS terus mencatatkan pertumbuhan positif bulan ke bulan sebanyak 0.8 peratus pada bulan rujukan.

Pertumbuhan ini disumbangkan secara signifikan oleh peningkatan dalam indeks kuantiti perdagangan runcit (0.4 peratus) dan jumlah guna tenaga di sektor pembuatan (0.3 peratus), katanya. – Bernama

Sumber