IMF unjur pertumbuhan global 2023 kepada 2.9 peratus

IMF unjur pertumbuhan global 2023 kepada 2.9 peratus

PERTUMBUHAN global diunjur menyusut kepada 2.9 peratus tahun ini berbanding anggaran 3.4 peratus yang dibuat pada 2022, kata Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Bagaimanapun, pertumbuhan dijangka pulih kepada 3.1 peratus menjelang 2024.

Jangkaan bagi 2023 ialah 0.2 mata peratusan lebih tinggi daripada yang diramalkan dalam laporan Tinjauan Ekonomi Dunia Oktober 2022 tetapi di bawah purata 10 tahun sebanyak 3.8 peratus, katanya dalam kemas kini ekonomi terkini.

Kenaikan kadar faedah bank pusat untuk memerangi inflasi dan perang Rusia-Ukraine akan terus memberi impak kepada aktiviti ekonomi tahun ini.

Semasa taklimat maya hari ini, Pengarah Jabatan Penyelidikan IMF Pierre-Olivier Gourinchas berkata inflasi global dijangka turun daripada 8.8 peratus pada 2022 kepada 6.6 peratus pada 2023 dan kepada 4.3 peratus menjelang 2024 tetapi ini masih melebihi paras pra-pandemik (2017 hingga 2019) iaitu kira-kira 3.5 peratus.

“Ekonomi global mungkin terus melembap tahun ini sebelum pulih tahun depan, serta pertumbuhan akan kekal lemah berdasarkan standard sejarah, ketika usaha menentang inflasi dan perang Rusia di Ukraine memberi kesan kepada aktiviti.

“Walaupun terdapat halangan ini, prospek kurang suram berbanding jangkaan Oktober kami serta boleh membentangkan titik perubahan, dengan pertumbuhan berkurangan dan inflasi menurun,” katanya.

Gourinchas berkata, penularan pantas Covid-19 di China telah menjejaskan pertumbuhan pada 2022, tetapi pembukaan semula baru-baru ini membuka jalan kepada pemulihan yang lebih cepat daripada jangkaan.

“Pembukaan semula China secara tiba-tiba telah mendorong pemulihan pesat dalam aktiviti dan keadaan kewangan global telah bertambah baik apabila tekanan inflasi mula berkurangan.

“Penyusutan dolar AS daripada paras tertinggi pada November memberikan sedikit kelegaan sederhana kepada ekonomi baharu muncul dan membangun,” katanya.

Beliau menjelaskan lagi, ekonomi maju akan menyaksikan kelembapan yang lebih ketara dengan penurunan daripada 2.7 peratus tahun lepas kepada 1.2 peratus tahun ini, dengan sembilan daripada 10 ekonomi maju menyaksikan pertumbuhan merosot pada 2023.

China pula dijangka mencatatkan pemulihan pertumbuhan kepada 5.2 peratus pada 2023, dan bersama-sama dengan India akan menyumbang separuh daripada pertumbuhan global tahun ini, manakala Amerika Syarikat termasuk rantau euro secara gabungan akan menyumbang 10 peratus sahaja.

Sebaliknya, Gourinchas berkata, imbangan kunci isi rumah dan pertumbuhan gaji yang kukuh mampu membantu mengekalkan permintaan swasta walaupun ini berpotensi merumitkan usaha menentang inflasi.

Sementara itu, kelegaan dalam kesesakan rantaian bekalan termasuk kelembapan dalam pasaran buruh akibat kekurangan kekosongan jawatan mampu memperlihatkan kesan yang lebih lembut, ini memerlukan pengetatan monetari yang agak longgar.

Beliau juga menyatakan banyak laporan baru-baru ini mengumumkan bahawa keadaan inflasi akan lebih baik tetapi penyelesaian sebenar masih jauh dengan dasar monetari mula menggigit, ditambah dengan kelembapan dalam pembinaan rumah baharu di banyak negara.

Mengenai kenaikan kos sara hidup, beliau berkata, banyak negara telah bertindak balas terhadap krisis itu dengan menyokong perniagaan dengan dasar yang luas dan tidak disasarkan dengan tujuan membantu mengurangkan kejutan.

“(Bagaimanapun), banyak langkah ini terbukti menelan belanja yang besar dan semakin tidak mampan.

“Sesebuah negara sebaliknya harus mengamalkan langkah-langkah bersasar yang bersesuaian dengan ruang fiskal, membenarkan harga tenaga yang tinggi untuk mengurangkan permintaan tenaga dan cuba elak daripada merangsang ekonomi secara keterlaluan,” katanya. – Bernama

Sumber