Hukum lunaskan hutang dengan wang haram

Hukum lunaskan hutang dengan wang haram

APABILA sudah berhutang, kita wajib membayarnya meskipun kadangkala ia tidak dituntut si pemiutang.

Ia diperintahkan ALLAH SWT kepada hamba-Nya kerana hutang merupakan satu bentuk perjanjian antara penghutang dan pemiutang yang mesti dipatuhi.

Namun, bagaimana jika kita membayar hutang itu dengan menggunakan wang hasil daripada sumber yang haram?

Adakah ia sudah dikira membayar hutang?

Hukum asal membayar hutang ialah wajib sehingga Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa yang mempunyai duit, lalu tidak membayar hutangnya, maka ia ialah satu kezaliman.” (Sahih al-Bukhari)

Di samping itu, ada hadis sahih lain yang menyebutkan roh orang Mukmin itu tergantung dengan sebab tidak melangsaikan hutangnya.

Imam al-Suyuthi dan al-Iraqi menyatakan, maksud tergantung itu ialah tertahan daripada mendapat manfaat atau tempat yang mulia di barzakh.

Adapun hukum membayar hutang dengan duit yang haram ialah tidak dibenarkan pada asalnya kerana wang itu tidak boleh disucikan disebabkan hukum asalnya ialah haram lizatihi (haram zatnya tersendiri) dan hutang tidak terlunas dengannya.

Sementara itu, jika pemiutang mengetahui sumber yang digunakan oleh penghutang untuk membayar hutangnya daripada sumber yang haram dan dia menerimanya, maka hukumnya juga ialah haram kerana bersubahat.

Kesimpulannya, carilah sumber yang halal untuk membayar hutang di samping memastikan juga sumber pendapat yang diredai syarak.

***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan Fellow Pertubuhan Multaqa Asatizah & Duat (Murshid), pendakwah dan penulis.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *