Hukum kanak-kanak main permainan telefon di dalam masjid

Hukum kanak-kanak main permainan telefon di dalam masjid

BAGI mereka yang sudah berkeluarga, anak-anak sudah pasti menjadi keutamaan dan akan dibawa ke mana sahaja termasuk ke surau mahupun masjid.

Pada masa yang sama, anak-anak itu dapat melihat sendiri bagaimana suasana orang beribadah secara berjemaah, sekali gus membiasakan diri mereka dengan keadaan itu.

Namun, kalau sudah namanya pun kanak-kanak, memang fitrah mereka suka bermain.

Bagi mengelakkan anak-anak tersebut daripada membuat ‘kacau’ di dalam masjid atau surau, kebiasaannya ibu bapa akan memberikan telefon bimbit untuk tontonan kanak-kanak tersebut sementara mereka menunaikan solat.

Apakah hukum kanak-kanak bermain permainan video di dalam telefon sewaktu di dalam masjid?

Sebelum menjawab persoalan berkenaan, semua orang tahu bahawa masjid ialah tempat mulia buat umat Islam dan ia merupakan salah satu daripada syiar Islam.

Justeru, kita dituntut untuk sentiasa menjaga adab-adab ketika berada di dalam masjid kerana ia merupakan Rumah ALLAH.

Hukum asal bagi masjid adalah memuliakannya dan menjaga kehormatannya dengan menghilangkan perkara yang tidak layak dengannya seperti perkara yang lalai, batil, bermain-main dan lain-lain yang boleh merosakkan kesucian masjid.

Kanak-kanak pula merupakan perhiasan hidup buat manusia.

Firman ALLAH SWT: “Harta benda dan anak pinak itu ialah perhiasan hidup di dunia dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik di sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.” (Surah al-Kahfi, ayat 46)

Dalam hal itu, hukum kanak-kanak bermain permainan video di dalam masjid boleh dibahagikan kepada dua iaitu:

1. Kanak-kanak yang belum mumayyiz. Hukumnya ialah harus dengan syarat tidak mengganggu orang lain yang sedang beribadah kerana sifat lazim mereka suka bermain.

Namun, sekiranya ia mengganggu orang lain yang sedang beribadah atau sebaliknya, maka hukumnya ialah haram dan dosa tersebut akan ditanggung oleh ibu bapanya.

2. Bagi kanak-kanak yang sudah mencapai usia 7 tahun ke atas, mereka perlu diperintahkan supaya menunaikan solat.

Apapun, sebagai ibu bapa, sentiasalah memerhati dan menjaga setiap tingkah laku anak-anak masing-masing agar tidak menimbulkan kemarahan atau ketidakselesaan orang yang datang ke masjid.

Ingatlah bahawa masjid ialah Rumah ALLAH yang perlu dimuliakan.

(Sumber: Al-Kafi #1053: Kanak-Kanak Bermain ‘Game’ di Dalam Masjid, Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *