HRSB Holdings sasar pendapatan RM500 juta

HRSB Holdings sasar pendapatan RM500 juta

KUALA LUMPUR – Sebuah syarikat kontraktor minyak dan gas Malaysia, HRSB Holdings Sdn Bhd (HRSB Holdings) mensasarkan jumlah pendapatan sebanyak RM500 juta bagi tahun ini.

Sasaran berkenaan disokong oleh prestasi operasi yang memberangsangkan serta pembiayaan berterusan berjumlah RM132 juta daripada SME Bank.

Presiden Kumpulan HRSB Holdings, Datuk Mohd Faizal Mohd Hassim berkata, pembiayaan berkenaan bagi tujuan modal kerja dan pembelian aset untuk melaksanakan kontrak yang diterima mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Justeru, ia bukan hanya menambah keyakinan pihaknya untuk terus fokus dalam tiga industri utama iaitu industri Minyak dan Gas, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan Telekomunikasi, bahkan untuk dua lagi industri tambahan yang dalam perancangan.

“Pencapaian syarikat berkembang daripada jualan RM1.8 juta pada tahun pertama penubuhan kepada jualan sebanyak RM270 juta pada tahun lalu.

“Pada tahun ini, kami yakin boleh mencapai pendapatan antara RM700 ke RM800 juta.

“Namun, disebabkan keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini, jadi kita mensasarkan RM500 juta dahulu,”katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pengumuman Penerimaan Pembiayaan RM132 juta daripada SME Bank pada Jumaat.

Turut hadir Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Dr Aria Putera Ismail; Ketua Pegawai Perniagaan SME Bank, Nurbayu Kasim Chang dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan HRSB Holdings, Datuk Mohd Sabri Zahari.

Mohd Faizal menambah, dengan pengukuhan operasi dan sokong berterusan dari pihak SME Bank, HRSB Holdings juga yakin untuk mencapai visi sebagai syarikat gergasi berstatus Berhad dan tersenarai dalam pasaran Bursa.

Sementara itu, Dr Aria berkata, HRSB Holdings tersenarai sebagai antara syarikat yang berprestasi untuk berkembang ke peringkat lebih tinggi membuatkan SME Bank yakin menyalurkan sejumlah pembiayaan tersebut.

Bahkan katanya, HRSB Holdings turut terpilih untuk menyertai Program TITAN SME Bank yang akan dibimbing untuk mencapai penilaian RM1 bilion atau bersamaan dengan 500 peratus kadar pertumbuhan tahunan majmuk dalam tempoh lima tahun.

“HRSB Holdings adalah antara syarikat terbaik dalam portfolio kami dan melihat kepada rancangan masa depan syarikat ini, kami yakin mereka akan terus maju dalam industri yang mereka ceburi.

“Kami tertarik menyediakan pembiayaan kerana beranggapan setiap pinjaman yang kami beri bukan hanya untuk memberi keuntungan kepada syarikat ini tetapi ia juga akan membina peluang pekerjaan yang lebih luas untuk manfaat masyarakat,” ujarnya.

Sumber