Honor Magic Vs dilancar di Malaysia pada harga RM5,999

Honor Magic Vs dilancar di Malaysia pada harga RM5,999

KUALA LUMPUR – Honor Malaysia (Honor) melancarkan dua telefon pintar flagship terbaharu iaitu Honor Magic Vs yang menjadi telefon boleh lipat pertama jenama itu di pasaran antarabangsa dan Siri Honor Magic5.

Honor Magic Vs yang dinanti-nantikan ramai penggemar gajet di seluruh dunia ditawarkan pada harga RM5,999 bagi memori 12GB RAM dan storan 512GB.

Ketua Pegawai Eksekutif Honor Malaysia, Justin Li berkata, Honor Magic Vs menjanjikan pengalaman pengguna yang unik kerana menawarkan ciri berbeza daripada pesaing telefon boleh lipat lain di pasaran.

“Honor Magic Vs bakal mencetuskan revolusi dalam industri telefon boleh lipat kerana menyelesaikan masalah-masalah yang lazim dihadapi pengguna. Paparan luaran Honor Magic Vs membolehkan pengguna menikmati pengalaman yang lebih produktif dan cekap.

“Honor Magic Vs tampil dengan rekaan lipat tanpa celah di antara skrin untuk menghalang serpihan kecil seperti batu dari tersekat dan masalah ini sering dihadapi pengguna.

“Paparan skrin peranti ini dibina dengan menitikberatkan ketahanan bagi mengelak keretakan atau kemek yang memerlukan kos tinggi untuk diperbaiki,” katanya pada majlis pelancaran itu di sini pada Khamis.

Justin memberitahu, sebagai tambahan, Honor Magic Vs mengetengahkan ketahanan bateri yang menakjubkan meskipun mempunyai struktur kompleks dengan pelbagai komponen.

“Pendek kata, Honor Magic Vs dimuatkan dengan beberapa teknologi inovasi dan ciri-ciri yang menyelesaikan masalah pengguna.

“Ciri itu adalah skrin dalaman dan luaran yang lebih praktikal. Dilengkapi paparan luaran 6.45 inci dengan nisbah aspek 21:9 dan nisbah skrin ke badan 90 peratus, Honor Magic Vs menyajikan pengguna dengan pengalaman menonton yang mengasyikkan.

“Berbanding dengan pesaingnya, Honor Magic Vs menawarkan paparan luaran yang lebih besar dan luas agar pengguna melihat dan menaip teks dengan jelas,” ujarnya.

Menurutnya, peranti tersebut mempunyai kenipisan hanya 12.9mm apabila dilipat dengan berat 267 gram (g) sahaja iaitu amatlah nipis dan ringan untuk telefon boleh lipat.

“Honor Magic Vs turut menawarkan jangka hayat bateri ultra lama kepada pengguna. Bateri Ketumpatan Ultra Tinggi 5000mAh menjadikan peranti ini memiliki kapasiti bateri terbesar dalam kalangan telefon boleh lipat di bawah 270g di pasaran.

“Teknologi pengecasan pantas Honor SuperCharge 66W berwayar mengecas bateri sepenuhnya dalam masa 46 minit sahaja, pengguna tidak perlu bimbang masalah bateri lemah,” jelasnya.

Justin berkata, prapesan Honor Magic Vs bermula Khamis hingga 14 April 2023 di mana pembeli terawal berpeluang membawa pulang set hadiah bernilai lebih RM2,200 termasuk jaminan tambahan selama setahun dan pelindung retak skrin selama 180 hari.

Maklumat lanjut mengenai promosi Siri Honor Magic boleh diperoleh dengan mengikuti Facebook rasmi Honor Malaysia dan laman web https://bit.ly/HONORMagicDualFlagship.

Sumber