Honda terus ungguli kedudukan jualan

Honda terus ungguli kedudukan jualan

HONDA Malaysia membuktikan kedudukan sebagai peneraju pasaran bagi segmen kenderaan bukan nasional. Syarikat terbabit mencatatkan jualan melebihi 44,200 unit untuk tempoh separuh tahun pertama 2019.

Melalui hasil pencapaian jualan tersebut, pengedar kenderaan popular terbabit mengekalkan kedudukan kedua dalam jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk tempoh antara Januari hingga Jun. Ia menyumbangkan sebanyak 15.3 peratus kepada TIV.

Model sedan segmen B, City, dikatakan sebagai penyumbang terbesar dengan mencatatkan 34 peratus dalam keseluruhan jualan. Diikuti dengan model crossover HR-V yang dilancarkan pada Januari lalu menyumbang sebanyak 20 peratus dan CR-V pula sebanyak 14 peratus dalam jumlah keseluruhan jualan tersebut.

Honda turut mengesahkan barisan modelnya seperti Jazz, City, Civic, HR-V, CR-V dan BR-V terus menjadi pendahulu dalam segmen masing-masing.

Berdasarkan tempoh kajian, jualan kenderaan pada Mei lalu menyaksikan rekod tertinggi apabila lebih 10,500 unit kereta Honda terjual.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Toichi Ishiyama berkata, separuh tahun pertama merupakan tempoh yang mencabar untuk Honda Malaysia, namun ia menjadi perangsang untuk syarikat berusaha lebih maju.

Katanya, Civic mencapai jumlah jualan 130,000 unit, manakala Jazz menyaksikan penghantaran 100,000 unit kepada pengguna.

“Sangat mengagumkan, kedua-dua model itu kini menjadi model kegemaran Malaysia. Kami berharap dapat mencapai lebih banyak pencapaian baharu tahun ini.

“Honda akan terus berusaha menawarkan produk berkualiti dan berteknologi maju kepada rakyat dan pelanggan Honda,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Selain itu, pelanggan juga akan berpeluang menikmati lebih ganjaran apabila mereka membawa pulang model baharu Honda menerusi tawaran kempen Bonus Honda, Bonus Bulanan Teknologi dan hadiah eksklusif bernilai sehingga RM5,000.

Kempen itu terbuka kepada semua model (kecuali Civic Type-R) yang bermula pada 1 Julai lalu hingga 30 September depan.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *