Honda Malaysia lancar Civic Generasi ke-11

Honda Malaysia lancar Civic Generasi ke-11

HONDA Malaysia secara rasminya melancarkan Civic Generasi ke-11 serba baharu ke pasaran negara pada Khamis.

Model yang dinanti-nanti itu dijangka akan merancakkan lagi pasaran dan mengekalkan posisinya sebagai model nombor satu di dalam segmen C dengan reka bentuk bergaya, ciri dalaman premium dan prestasi terbaik dalam kelasnya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Madoka Chujo berkata, meskipun konsep reka bentuk baharu telah memberikan identiti alaf baharu untuk sebuah sedan, namun ia masih mengekalkan ‘DNA’ model Civic khususnya bagi reka bentuk, pengendalian dan prestasi kuasa.

CHUJO. FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID

CHUJO. FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID

“Honda Malaysia juga buat pertama kalinya memperkenalkan varian RS untuk barisan model Civic dengan meningkatkan ciri-ciri ‘sporty’ dan gaya berani untuk Civic serba baharu ini.

“Antara ciri-ciri luaran eksklusif RS adalah seperti kemasan hitam berkilat di pintu dengan cermin sisi berwarna hitam, antena, ‘shark fin’, pemegang luar pintu dan ‘spoiler’ penutup but, manakala ekzos berkembar dengan kemasan krom dan roda aloi hitam ‘matte’ 18 inci memberikan ciri sporty untuk penampilannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Civic Generasi ke-11 serba baharu di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada Khamis.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia, Sarly Adle Sarkum.

Mengulas lanjut, Chujo berkata, selain RS, Civic Generasi ke-11 turut menawarkan dua lagi varian iaitu E dan V dengan enjin 1.5L i-VTEC Turbocharged yang dipertingkatkan kini didatangkan standard untuk semua varian Civic.

“Kerangka Civic serba baharu ini juga diperhalusi untuk menawarkan pengendalian yang lebih baik dan pemanduan yang lebih selesa.

“Kerangka Civic Generasi ke-11 ini juga lebih kukuh daripada Civic sebelumnya dengan peningkatan lapan peratus daripada pengukuhan torsional dan 13 peratus lebih baik dalam pengukuhan liuk (bending),” katanya.

Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Madoka Chujo (kanan) dan Presiden & Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia, Sarly Adle Sarkum ketika Majlis Pelancaran 'The 11th Generation All-New Civic

Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Madoka Chujo (kanan) dan Presiden & Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia, Sarly Adle Sarkum ketika Majlis Pelancaran ‘The 11th Generation All-New Civic” di MITEC pada Khamis. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.

Justeru, beliau berkata, dengan kerangka yang berketegaran tinggi, keselamatan dapat dipertingkatkan sekiranya berlaku pelanggaran dan memberi mutu pengendalian kenderaan yang lebih baik.

Mengulas mengenai harga, Chujo berkata, varian E ialah RM125,634.64, selain V (RM138,043.36) dan RS (RM144.350.09).

“Dua warna baharu juga turut diperkenalkan iaitu merah (Ignite Red Metalic) dan kelabu (Meteoroid Gray Metalic), selain warna sedia ada iaitu putih mutiara, perak dan hitam mutiara,” katanya.

Honda Malaysia mensasarkan jualan sebanyak 900 unit sebulan dan ketika ini sebanyak 1,200 tempahan telah diterima bagi model baharu tersebut.

Sumber