Hargai kepimpinan negara terdahulu urus perpaduan dalam kepelbagaian

Hargai kepimpinan negara terdahulu urus perpaduan dalam kepelbagaian

Memahami dan menghargai keunikan antara satu sama lain, bangsa, dan agama mestilah menjadi tunjang perpaduan rakyat Malaysia. Kepelbagaian sosial negara yang terdiri daripada berbilang kaum dan etnik telah diuruskan oleh pemimpin negara sejak sekian lama, menurut Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.

“Kita lihat dahulu, sejak Malaysia terbentuk, semua Perdana Menteri mampu menguruskan kepelbagaian (rakyat) yang negara ada.

“Rakyat bangsa lain, dalam negara juga diberi peluang (bersatu) yang kita panggil ‘unity in diversity’ itu,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan ketika merasmikan Program Semarak Perpaduan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Selangor, Anggerik Mall, di sini, pada Isnin.

Justeru, Ahli Parlimen Kanowit itu berharap, program seumpama itu dapat memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat untuk saling mengenali, memahami dan menghormati keunikan setiap etnik di Malaysia.

“Program ini berpotensi menyebarluas kefahaman dan menyemai sikap toleransi khususnya dalam mencapai aspirasi Malaysia MADANI.

“Penganjurannya bertujuan untuk memperluas tapak integrasi sosial di samping mempertingkat jalinan muhibah dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menggesa sekolah vernakular dimansuhkan bagi membolehkan Malaysia mempunyai perdana menteri bukan Melayu yang pertama akan datang, beliau menyifatkan ianya hanya pendapat peribadi semata-mata.

“Sesiapa sahaja boleh berkata demikian, tetapi asasnya kita perlu saling menyokong sesama kita.

“Hakikatnya, kita dari dahulu (pelbagai kaum) begitu, that is the greatest gift God give to us (Malaysia), jadi kita raikan kepelbagaian hidup bersama, dan uruskannya. Jadi, ia tiada isu pun sebenarnya,” katanya.