Harga purata bar keluli meningkat 20 peratus pada Mei

Harga purata bar keluli meningkat 20 peratus pada Mei

PURATA harga bar keluli meningkat 20 peratus pada Mei kepada RM3,910 setiap tan metrik berbanding RM3,258 setiap tan metrik pada tempoh yang sama tahun lepas susulan peningkatan harga bahan binaan, kata Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, Indeks Kos Binaan (IKB) tanpa bar keluli dan termasuk bar keluli bagi semua kategori bangunan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak mencatatkan peningkatan pada Mei 2022 berbanding setahun lalu.

Beliau berkata, indeks kos binaan juga meningkat di Semenanjung Malaysia antara 7.8 dan 15.6 peratus, Sabah (antara 4.9 dan 12.9 peratus ) dan Sarawak (antara 7.4 dan 16.5 peratus).

“Simen mencatatkan peningkatan sebanyak 12.2 peratus pada Mei 2022 dengan RM20.89/50 kilogram berbanding RM18.61/50 kilogram pada Mei 2021.

“Harga hampir semua bahan binaan lain seperti batu baur, pasir, batu bata & dinding, bahan bumbung dan bahan siling juga merekodkan peningkatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohd Uzir berkata, indeks harga seunit bahan binaan meningkat antara 4.1 peratus hingga 19.9 peratus.

“Indeks harga bagi seunit besi dan keratan keluli dan logam meningkat masing-masing 19.9 peratus dan 18.1 peratus pada Mei 2022 berbanding Mei 2021.

“Indeks harga bagi seunit simen juga meningkat 12.4 peratus bagi tempoh tersebut,” katanya sambil menambah dalam konteks item dan kawasan terpilih, peningkatan tertinggi bagi besi dicatatkan di Miri (35.9 peratus) diikuti Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (29.3 peratus)

Indeks harga bagi seunit simen untuk kedua-dua Kuching dan Kota Kinabalu masing-masing meningkat 19.6 peratus dan 17.6 peratus.

Kedua-dua batu baur (21.7 peratus) dan pasir (15.1 peratus) juga mencatatkan peningkatan dua digit di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

IKB dengan bar keluli bagi semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak menunjukkan peningkatan bagi semua kategori bangunan

Menurut laporan World Steel Association (WSA) penggunaan keluli global dijangka meningkat kepada 1.84 bilion tan metrik pada 2022, peningkatan 0.4 peratus daripada 2021 dan pada 2023, permintaan keluli diunjur meningkat 2.2 peratus kepada 1.88 bilion tan metrik.

Ia berkata, laporan Commodity Markets Outlook oleh Bank Dunia menyebut bahawa kebanyakan harga komoditi dijangka meningkat pada 2022 dan kekal tinggi dalam jangka sederhana. – Bernama

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber