Harga minyak naik, ringgit terus mengukuh

Harga minyak naik, ringgit terus mengukuh

RINGGIT meneruskan momentum kenaikannya apabila dibuka mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, dipacu oleh peralihan minat pelabur terhadap mata wang negara pesat membangun serta kenaikan harga minyak global, kata penganalisis.

Pada 9 pagi, unit tempatan itu meningkat kepada 4.2260/2310 berbanding dolar AS daripada 4.2450/2465 pada akhir urus niaga semalam.

Setakat pagi ini, harga minyak mentah Brent yang juga penanda aras global itu menokok 0.26 peratus kepada AS$87.70 setong.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, ringgit mungkin mempertahankan sentimen positif itu di masa depan susulan jangkaan peningkatan pelancong China yang turut memacu sektor pelancongan dan perkhidmatan Malaysia.

Selain itu, aliran masuk modal juga dijangka ketara apabila pelabur terus bertumpu ke pasaran Asia.

“Data percutian dan libur yang ketara di China seperti dipaparkan semalam adalah sesuatu yang positif. Walaupun ini akan memacu perkembangan positif, saya berpendapat pasaran masih perlu melihat peningkatan data penggunaan di China sebelum pergerakan itu dapat turun di bawah paras 4.20,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata, data Pesanan Barangan Tahan Lama Utama AS juga lebih tinggi daripada jangkaan yang cenderung meningkatkan dolar AS manakala keluaran dalam negara kasar AS juga di paras lebih tinggi daripada jangkaan iaitu pada 2.9 peratus berbanding unjuran 2.6 peratus.

“Ini petanda bahawa ekonomi AS lebih baik daripada unjuran sebelum ini dan cenderung untuk menaikkan lagi dolar AS,” katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2235/2278 daripada 3.2345/2359 pada akhir urus niaga semalam dan naik berbanding pound Britain kepada 5.2466/2528 daripada 5.2583/2601 sebelum ini.

Unit tempatan itu turut meningkat berbanding euro kepada 4.6038/6093 daripada 4.6254/6270 semalam dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.2595/2639 daripada 3.2671/2685. – Bernama

Sumber