Harga minyak dunia jatuh: Bursa Malaysia dibuka rendah

Harga minyak dunia jatuh: Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dibuka rendah pada pagi ini sejajar dengan penurunan berterusan harga minyak global yang ketika ini diniagakan di bawah paras AS$30 setong.

Pada jam 9.05 pagi, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 4.64 peratus atau 60.58 mata kepada 1,242.70 manakala indeks lain juga dibuka rendah.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 515 berbanding 36 manakala 66 kaunter tidak berubah, 1,402 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 210.83 juta saham bernilai RM91.45 juta.

Ketika ini, penanda aras minyak mentah Brent diniagakan pada AS$28.15 setong, paras terendahnya sejak 2003 selepas turun hampir tiga peratus semalam.

Minyak mentah Brent susut 66.16 peratus daripada nilainya setakat ini pada tahun ini.

Malacca Securities dalam nota penyelidikannya hari ini berkata dalam keadaan kemeruapan yang berterusan, FBM KLCI dijangka turun daripada kenaikan yang dicatatkan pada Jumaat minggu lepas dengan para pelabur terus dipengaruhi oleh ketidaktentuan pasaran global, seiring dengan prestasi indeks global terutamanya Dow Jones Industrial Average.

“FBM KLCI dijangka bergerak semula menuju ke arah paras ketahanan 1,250 dengan paras sokongan pada 1,210. Di keseluruhan pasaran, saham dan kaunter berharga rendah dijangka terus mengalami turun naik apabila para peniaga melepaskan pegangan mereka untuk mengelakkan lagi prestasi tidak menentu.

“Dengan sentimen negatif dijangka menguasai pasaran di tengah-tengah peningkatan penularan Covid-19, kami merasakan aktiviti dagangan akan tertumpu kepada sektor penjagaan kesihatan,” kata firma pembrokeran itu.

FBM KLCI mencecah paras terendahnya dalam tempoh 10 tahun minggu lepas susulan aliran keluar dana disebabkan penurunan harga minyak mentah dan situasi koronavirus (Covid-19) yang semakin memburuk di seluruh dunia.

Penganalisis minyak berkata, penurunan harga minyak itu dijangka berterusan dalam tempoh terdekat ini.

Bagi keseluruhan indeks, saham permodalan kecil dan sederhana mencatatkan penurunan besar diikuti kaunter teknologi serta pembinaan.

Bagi saham wajaran tinggi, semua kaunter susut diterajui kaunter kewangan.

Maybank turun 28 sen kepada RM7.23, CIMB Group susut 38 sen kepada RM3.26 dan Public Bank jatuh 62 sen kepada RM13.42.

Semua kaunter berkaitan Petronas juga mencatatkan penurunan apabila Petronas Chemicals turun 25 sen kepada RM4.18, MISC susut 20 sen kepada RM7.24, Petronas Gas jatuh 74 sen kepada RM14.94 dan Petronas Dagangan berkurangan 90 sen kepada RM9.10.

Dalam kalangan kaunter cergas, Sapura Energy dan Borneo Oil kedua-duanya turun setengah sen kepada tujuh sen dan 10 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 436.54 mata kepada 8,406.24, Indeks FBM Emas Shariah susut 440.80 mata kepada 9,223.34 dan FBM 70 turun 586.10 mata kepada 9,302.16.

Indeks FBMT 100 jatuh 423.14 mata kepada 8,357.15 dan FBM Ace susut 215.74 mata kepada 3,303.38.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 5.34 mata kepada 94.41, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 635.83 mata kepada 11,185.68 dan Indeks Perladangan susut 279.24 mata kepada 5,658.39. – Bernama



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *