Harga minyak dijangka kekal tinggi akibat konflik Rusia-Ukraine

Harga minyak dijangka kekal tinggi akibat konflik Rusia-Ukraine

KENANGA Investment Bank Bhd (Kenanga Investment) menjangkakan harga minyak akan kekal tinggi buat masa ini berikutan pencerobohan Rusia di Ukraine menyebabkan ketidakpastian yang ketara berhubung potensi gangguan bekalan minyak.

Firma penyelidikan itu berkata, keadaan itu diburukkan lagi dengan inventori minyak yang rendah, ditambah pula dengan pengambilan stok secara agresif dalam persekitaran permintaan tinggi dan keengganan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dalam memperkenalkan semula bekalan tambahan ke pasaran.

“Secara keseluruhan, kami mengekalkan andaian harga minyak mentah Brent secara purata bagi tahun 2022-2023 kami sebanyak AS$90 setong, ia juga seiring dengan jangkaan pasaran.

“Sementara itu, trajektori pemulihan tahap aktiviti juga dijangka terus dapat dikekalkan,” katanya dalam nota penyelidikan pada Isnin.

Kenanga Investment juga mengunjurkan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk menormalisasikan perbelanjaan modal (capex) kepada RM40-50 bilion setahun tahun ini dengan aktiviti huluan tempatan masih dijangka menjadi pelaburan terbesar walaupun dengan peningkatan penggunaan tenaga diperbaharui.

Di peringkat global, firma penyelidikan itu menjangkakan perbelanjaan modal dalam penerokaan dan pengeluaran (E&P) global akan diteruskan untuk fasa pemulihannya.

“Kami berpendapat sektor itu masih belum mencapai paras harga stabil sepenuhnya dengan kenaikan berlaku dalam tempoh singkat,” katanya.

Justeru, Kenanga Research mengekalkan saranan ‘beli lebih’ terhadap sektor itu dengan Petronas Chemicals Group Bhd (harga sasaran (TP) sebanyak RM11.00 sesaham) dan Hibiscus Petroleum Bhd dianggap dapat meraih keuntungan menerusi harga minyak manakala Dayang Enterprise Holdings Bhd (TP RM1.00 seunit) dan Uzma Bhd (TP RM0.68 seunit) ketika pemulihan perdagangan sedang berlaku ketika ini. – Bernama



Sumber