Haji nazar, wasiat wajib ditunaikan

Haji nazar, wasiat wajib ditunaikan

SEBAGAI anak, wajib untuk kita taat dan berbakti kepada ibu bapa masing-masing.

Jika mereka sudah tiada lagi di dunia sekalipun, kita masih lagi boleh berbakti untuk orang tua yang selama ini membesarkan kita seperti mendoakan mereka dan bersilaturahim dengan sahabat kedua ibu bapa kita.

Namun, bagaimanakah dalam ibadah haji? Sebagai anak yang kematian ibu bapa, adakah wajib untuk kita dan adik-beradik lain mengerjakan haji bagi kedua ibu bapa masing-masing?

Menjawab persoalan itu, menunaikan haji merupakan Rukun Islam ke-5 iaitu wajib apabila memenuhi syarat-syaratnya iaitu Islam, baligh, berakal, mampu dan merdeka.

Adapun, badal haji dibenarkan syarak untuk dilakukan berdasarkan hadis sahih al-Bukhari tentang seorang wanita yang bertanya kepada Nabi Muhammad SAW berkaitan menunaikan haji nazar oleh ibunya. Baginda SAW menjawab, ia ialah hutang ALLAH SWT yang wajib dibayar.

Para ulama sepakat, jika haji itu nazar atau wasiat, maka ia wajib ditunaikan, manakala jika tiada wasiat atau nazar, maka terdapat perselisihan ulama dalam kes berkenaan.

Sebahagian pandangan menyatakan sunat, manakala sebahagian lagi menyatakan harus sahaja.

Dalam syarat-syarat badal haji, tidak sah badal haji bagi mereka yang mampu untuk melakukannya sendiri dan tidak boleh melakukan badal haji untuk orang lain kecuali individu berkenaan telah menunaikan haji untuk dirinya sendiri.

Selain itu, seseorang yang diwakilkan untuk melakukan badal haji tidak boleh mewakilkan pula kepada orang lain, dengan syarat ia perlu diberitahu kepada pemberi amanah tersebut dan dia bersetuju dengan tindakan itu.

Apapun, ia mestilah diwakilkan atau diupah haji itu kepada seorang yang baik, jujur, amanah dan berilmu untuk melaksanakan badal haji tersebut.

***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan Fellow Pertubuhan Multaqa Asatizah & Du’at (Murshid), pendakwah dan penulis.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *