Guzzi retro

SANTAI, klasik dan ringkas tetapi tetap memberi kepuasan maksimum kepada si penunggang. Itulah kata-kata yang boleh disimpulkan mengenai model Moto Guzzi V9 Roamer.

Dikeluarkan sejak tahun 1921, Moto Guzzi pernah melahirkan beberapa model motosikal untuk siri perlumbaan suatu ketika dulu.

Mula diperkenalkan di pasaran tempatan sekitar Julai 2017, jentera ini dikuasakan oleh enjin 850cc V Twin yang diinspirasikan daripada model terdahulu iaitu sekitar tahun 1979 hingga 1985, antaranya V35, V50, V65 dan V75. Enjin ini kemudiannya dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dan kuasa disampaikan ke tayar belakang melalui sistem syaf. Secara tidak langsung, tetapan ini sudah tentu memerlukan penyelenggaraan yang kurang berbanding sistem rantai. Jumlah kuasa yang mampu dihasilkan pula adalah sebanyak 55 hp pada 6,250 rpm dan 62 Nm tork pada 3,000 rpm.

Tunggangan santai

V9 Roamer mempunyai keistimewaan tersendiri. Ia dibangunkan dengan tetapan untuk tunggangan yang lebih santai dengan pemegang mudah dicapai serta tempat letak kaki sedikit ke hadapan. Model itu diimport sepenuhnya dari Mandello, Itali oleh Didi Resources Sdn Bhd yang juga pengedar utama motosikal Moto Guzzi untuk pasaran tempatan.

V9 Roamer mudah dikenali dengan rekaan tangki berlekuk dan ekzos rendah untuk membezakan dengan model terdahulu, V7. Penulis berpeluang menguji kehebatan motosikal itu bersama Fast Bikers ketika menjayakan program Jelajah Utara Malaysia 2019 baru-baru ini. Kami berlepas dari Petaling Jaya, Selangor, Tambun, Perak hingga menuju ke Perlis.

Penulis boleh menyimpulkan bahawa V9 Roamer memang bagus untuk perjalanan jauh sesuai dengan kapasiti 15 liter penggunaan bahan api. Walaupun penulis memecut pada kelajuan 160 kilometer sejam (km/j), pendikit masih berbaki untuk mencapai kelajuan lebih tinggi sama ada ketika memintas kenderaan, membelok atau memecut di laluan lurus.

Kuasanya dapat dirasakan apabila pendikit dipulas cukup padu dan sempurna. Anda hanya perlu menggenggam kuat pemegang supaya badan tidak akan terkebelakang. Memotong dan memecut sudah tentu tidak menjadi masalah dengan motosikal itu selagi penunggang masih mampu bertahan dengan tarikan kuat tersebut dan dengan rintangan angin.

Posisi duduknya agak baik tetapi kedudukan tempat letak kakinya terasa agak canggung bagi mereka yang biasa menunggang motosikal cruiser berkapasiti tinggi. Penulis lebih berpuas hati sekiranya tempat letak kaki diletakkan ke hadapan sedikit bagi mendapatkan rasa yang lebih ala-cruiser.

Rekaan kemas

Kerangka tiub besi berkembar ALS menjadikan rekaannya lebih kemas dengan berat sekitar 199 kilogram (kg), antara paling ringan dalam segmennya. Apabila penulis mencapai butang penghidup pada V9 Roamer, penulis dapati switchgearnya mempunyai rekaan yang baharu dihiaskan dengan garis bentuk aluminium.

Ciri aerodinamik terserlah melalui rekaan tangki.

Ciri aerodinamik terserlah melalui rekaan tangki.

Rekaan tangki model V9 ini juga nampak unik. Bahagian sisinya mempunyai bucu tajam dan disertakan dengan kemasan jalur hitam. Melihat dari sisi ia nampak nipis tetapi apabila dilihat dari atas pula ia kelihatan lebar. Jika diteliti, tangki tersebut juga memiliki garis-garis tajam bersegi pada bahagian sisi bagi membantu meningkatkan aspek aerodinamik jentera secara fizikal.

Namun, bagi penulis, sudut paling menarik untuk melihat motosikal itu adalah dari bahagian belakang. Keseluruhan badan motosikal nampak seimbang dan tegap dengan terdapat ekzos serta bahagian enjin yang terkeluar pada kedua-dua sisi. Jentera ini dilengkapi bersama roda aloi hadapan bersaiz 19 inci dan belakang 16 inci menyerlahkan gaya cruiser sporty. Sistem brek daripada Brembo dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) adalah ciri standard.






Keseluruhan badan motosikal nampak seimbang dan tegap dari sudut pandang belakang.

Keseluruhan badan motosikal nampak seimbang dan tegap dari sudut pandang belakang.

Meter tampak ringkas dengan gabungan analog untuk kelajuan dan LCD digital bagi paparan maklumat penggunaan bahan api, masa, trip dan suhu. Lengan ayun berkembar dengan suspensi belakang boleh laras menyerap hentakan dengan baik terutama ketika melalui jalan tidak rata.

Lampu hadapan bulat menyerlahkan gaya retro manakala lampu belakang terpisah daripada lampu isyarat berciri klasik. Panel meter yang disediakan juga ibarat memberi pengaruh supaya ia ditunggang secara santai. Bahagian analognya cuma menunjukkan kadar kelajuan. Jika mahu melihat kadar rpm, anda perlu memilihnya supaya ia muncul pada bahagian digital yang lebih kecil.

Selain itu, bahagian digital ini juga boleh memaparkan beberapa informasi lain termasuk kedudukan gear, odometer, trip meter, penggunaan bahan api semasa dan purata, kelajuan purata, jam dan suhu luar. Lampu-lampu amaran pula menyala secara berasingan. Berkenaan suspensi, fork teleskopik 40 mm serta dua penyerap hentak pada bahagian belakang memberikan kualiti tunggangan yang selesa dan pada masa sama, masih meyakinkan ketika berhadapan dengan selekoh. Tunggangan penulis juga lebih selesa, ditambah dengan kehadiran pelana tempat duduk empuk.

Aspek keselamatan

Walaupun kedudukan tunggangan motosikal ini adalah santai, Moto Guzzi tidak mahu mengabaikan aspek keselamatan dan telah melengkapkan V9 Roamer dengan antara peralatan yang terbaik dalam kelasnya. Brek hadapannya dilengkapi unit Brembo empat piston dengan cakera terapung 320 mm. Bagi penulis, kuasanya cukup kuat untuk menghentikan motosikal yang mempunyai berat 199 kg ini.

Pada bahagian belakang pula terdapat cakera 260 mm berserta angkup dua piston serta kedua-dua brek depan dan belakang dilengkapi dengan sistem ABS two channel. Ia kemudiannya disokong pula dengan MGCT (Moto Guzzi Traction Control) yang boleh dipilih dalam dua tahap.

Secara keseluruhannya, Moto Guzzi V9 Roamer sesuai bagi mereka yang mahukan jentera dua roda dengan karakter dan gaya tersendiri. Walaupun, nampak klasik, V9 Roamer ini tetap sebuah motosikal berteknologi moden. Itulah sebenarnya karakter unik sebuah Moto Guzzi yang mungkin mahu dikekalkan oleh pengeluarnya. Bagi penulis, ia juga sesuai sebagai tunggangan harian.

Untuk pasaran tempatan, Moto Guzzi V9 dijual pada harga RM73,900 dengan waranti pengeluar dua tahun tanpa had perbatuan. Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman web rasmi Moto Guzzi Malaysia, https://www.motoguzzi.com/my_EN/.

Spesifikasi Moto Guzzi V9 Roamer 2017

Enjin: Empat lejang 90 darjah V-Twin

Sesaran: 853cc

Gerek × Lejang: 84×77mm

Kuasa: 55Hp @ 6,250rpm

Puncak Tork: 62Nm @ 3,000rpm

Transmisi: Enam kelajuan

Panjang/Lebar: 2,240/865mm

Tinggi Pelana: 785mm

Muatan Petrol: 15 liter

Berat: 199 kilogram

Harga: RM73,900



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *