Guna duit anak untuk bayar yuran sekolah

Guna duit anak untuk bayar yuran sekolah

SETIAP ibu bapa sudah pasti ada menyediakan tabungan sendiri untuk anak-anak mereka.

Tidak kiralah banyak atau sedikit jumlahnya, tetapi apa yang penting usaha mereka untuk menabung demi masa depan penyambung keturunan masing-masing.

Segelintir orang suka menyimpan wang tabungan itu di dalam bank atas nama anak tersebut.

Andai kata, pada suatu masa kita memerlukan, bolehkah wang tabungan tadi digunakan untuk membayar yuran persekolahan anak?

Persoalan itu akan dirungkai dalam segmen Soal Jawab Netizen bersama pensyarah Universiti Utara Malaysia dan pendakwah, Dr Fitri Haris.

Jelas beliau, pada asalnya, kita tidak dibenarkan mengambil hak orang lain sepertimana yang diriwayatkan dalam sebuah hadis.

“Perkara itu adalah jelas. Hak kamu, hak kamu, manakala hak aku adalah hak aku. Tidak kiralah ia hak isteri, anak, ibu atau bapa kita sekalipun,” katanya.

Namun, dalam perihal menggunakan duit anak sendiri, ujar beliau, Islam agama yang syumul dan cantik. Perkara yang pada asalnya tidak boleh digunakan, namun ada ‘keringanan’ dalam hal-hal tertentu.

Kata beliau, terdapat beberapa situasi yang dibenarkan untuk ibu bapa mengambil duit milik anak

Situasi pertama adalah jika wang yang digunakan tadi tidak memudaratkan anak kita, terang beliau.

“Jangan sampai kita ambil duit anak sehingga menyebabkan anak tadi bankrap dan sebagainya. Ini jika anak kita tadi sudah besar.

“Namun, jika anak belum baligh lagi, ia tiada masalah jika ia (wang anak) diperlukan ketika itu,” kata beliau.

Ujar Fitri, situasi kedua yang dibenarkan adalah ibu bapa mengambil wang berkenaan untuk keperluan semasa anak.

“Mungkin pada masa itu, kita tiada duit hendak bayar yuran sekolah anak atau hendak makan. Kadangkala semasa Hari Raya, anak lagi kaya daripada kita sendiri.

“Pada masa itu, dibolehkan kita menggunakan duit mereka sekiranya ia demi memenuhi keperluan mereka pada masa itu contohnya bayar yuran sekolah, beli buku dan sebagainya. Jangan pula kita ambil duit berkenaan untuk membeli beg tangan dan selainnya. Itu tidak dibolehkan,” tegas beliau.

Apa pun, jika anak tadi sudah berakal, Fitri menasihatkan ibu bapa agar meminta izin anak sebelum menggunakan duit mereka.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *