GSC galak pembelian tiket secara dalam talian

GSC galak pembelian tiket secara dalam talian

GOLDEN Screen Cinema (GSC) menggalakkan orang ramai yang mahu menonton wayang di pawagamnya membeli tiket secara dalam talian, menurut syarikat berkenaan dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Katanya, langkah tersebut adalah satu daripada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi menjaga keselamatan pelanggan selepas pawagam berkenaan dibenarkan beroperasi semula pada 1 Julai lalu.

“Pembelian dalam talian membolehkan jarakkan sosial dilakukan bagi mengelakkan pelanggan beratur di kaunter, sekali gus mengurangkan kontak sesama mereka,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya, tiket boleh dibeli menerusi aplikasi Mobil GSC atau laman web mereka di www.gsc.com.my.

“Pelanggan kemudiannya boleh menuntut tiket di pintu masuk pawagam dengan mengimbas kod respon pantas (QR) di pagar auto.

“Sekiranya pagar auto tidak berfungsi, pelanggan boleh menunjukkan pas dalam talian kepada kakitangan kami,” katanya.

GSC menjelaskan, antara langkah lain yang diambil bagi menjamin keselamatan pelanggan ialah mengambil bacaan suhu, mengisi borang pengisytiharan digital, proses nyahkuman di setiap pawagam serta kawalan jarak.

Selain itu, GSC turut mewajibkan pemeriksaan suhu dan pemakaian topeng muka kepada semua kakitangannya yang bertugas di pawagam.

“Mereka yang mempunyai bacaan suhu melebihi 37.5 darjah celcius dan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah tidak dibenarkan untuk memasuki pawagam,” katanya.

Terdahulu, GSC menghentikan operasi pawagamnya selama tiga bulan selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac lalu bagi mengekang penularan koronavirus (Covid-19).



Sumber